
Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad
SETIAUSAHA TETAP
Pendidikan Akademik
Yang Mulia Dr Haji Mohammed Hussain memulakan pendidikan aliran Melayu di Sekolah Melayu Kiulap (01.01.1976 – 31.12.1980), aliran Inggeris di St. George's School (01.01.1974 – 31.12.1985), pendidikan ugama di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Masna (01.01.1981 – 31.12.1986), pendidikan menengah bawah di Maktab Sultan Omar Ali Saifuddin (01.01.1986 – 31.12.1987), pendidikan menengah atas di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (01.03.1988 – 31.12.1989), pengajian Qur'an di Maahad Tahfiz Al-Qur´an wal Qira´at, Kuala Lumpur, Malaysia (02.01.1990 – 31.03.1993).
Seterusnya menerima tawaran biasiswa Kerajaan Arab Saudi untuk mengikuti pengajian bahasa Arab di Shukbah Al-Lugah Al-Arabiyyah, Universiti Islam Madinah, Arab Saudi (25.09.1994 – 21.01.1996) dan juga meneruskan pengajian di Kuliyyah Hadith, Universiti Islam Madinah, Arab Saudi (13.09.1996 – 29.05.2000) dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Hadith dan Pengajian Islam. Kemudian menerima biasiswa dari Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam untuk mengikuti pengajian di Universiti Jordan, Amman, Jordan (19.10.2000 – 15.12.2002) dan memperolehi Ijazah Sarjana Usuluddin (Hadith). Semasa bertugas di Universiti Brunei Darussalam, diberikan peluang untuk mengikuti kursus Sijil Falak Syar'ie di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Malaysia (24.05.2003 - 13.07.2003) dan seterusnya ditawarkan Skim Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) penuh untuk mengikuti pengajian di the Department of Arabic and Islamic Studies, School of Languages and Cultures, Faculty of Arts and Social Sciences, University of Sydney, Australia (17.03.2005 – 27.01.2009) dan memperolehi Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Arab dan Islam.
Selain itu juga pernah mengikuti kursus-kursus: the 4th Program for Advanced Leadership and Management (PALM4), di Madinah Institute of Leadership and Entrepreneurship (MILE), Arab Saudi (27.04.2012 – 11.05.2012), program Leaders in Development: Managing Change in a Dynamic World di Harvard University, John F. Kennedy School of Government, Cambridge, MA, USA (02.06.2014 - 13.06.2014) dan 26th Executive Development Programme for Senior Government Officers (EDPSGO) di Universiti Teknologi Brunei (23.07.2018 – 24.01.2019).
Pengalaman Bekerja
Yang Mulia Dr Haji Mohammed Hussain telah dilantik sebagai Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama pada 01 Julai 2026 dan dalam masa yang sama merangkap selaku Pengarah Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), Jabatan Perdana Menteri dengan lantikan asal sejak 01 Jun 2021.
Memulakan kerjaya sebagai Tutor di Institut Pengajian Islam Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien (IPISHOAS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) (20.01.2003 - 16.02.2003), dan seterusnya dilantik sebagai Pensyarah di IPISHOAS, UBD (17.02.2003 - 31.03.2008). Selanjutnya dengan penubuhan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), dipindah dengan jawatan Pensyarah Fakulti Usuluddin, UNISSA (01 April 2008 - 08 Julai 2011); memegang jawatan Timbalan Dekan Fakulti Usuluddin UNISSA (20 Ogos 2009 - 31 Julai 2010); Dekan Fakulti Usuluddin, UNISSA (01 Ogos 2010 - 31 Disember 2012); dinaikkan pangkat sebagai Pensyarah Kanan Fakulti Usuluddin, UNISSA (09 Julai 2011 - 11 Mei 2014); dan dilantik selaku Pemangku Penolong Rektor UNISSA (16 Jun 2012 - 31 Julai 2013). Seterusnya diperbantukan dalam jawatan Pensyarah Kanan ke Sultan Omar 'Ali Saifuddien Centre for Islamic Studies (SOASCIS), UBD (12 Mei 2014 - 25 Jun 2014); dan kemudian dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Rektor di UNISSA, Kementerian Pendidikan (26 Jun 2014 - 31 Mei 2021).
Bintang-Bintang Kebesaran
Di sepanjang perkhidmatan, telah dikurniakan Bintang-Bintang Kebesaran dan Pingat Kehormatan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam iaitu: Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Keempat (P.S.B) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 pada tahun 2015; Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Ketiga (S.M.B) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 pada tahun 2023; dan Pingat Kerja Lama (P.K.L) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 pada tahun 2024.