Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Jabatan Majlis Ugama Islam

​​JABATAN MAJLIS UGAMA ISLAM

Jabatan Majlis Ugama Islam adalah merupakan urusetia kepada Majlis Ugama Islam dan dari segi pentadbirannya diletakkan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan diketuai oleh Setiausaha Majlis Ugama Islam.

🎯Misi

Mendukung kewibawaan Majlis Ugama Islam sebagai penggubal dan penentu dasar pentadbiran Ugama Islam yang berkesan dan cemerlang di Negara Brunei Darussalam.

🏁Matlamat

i. Membantu Majlis Ugama Islam menggubal dasar untuk diterapkan dan dilaksanakan di Negara ini.
ii. Memastikan setiap dasar dan keputusan Majlis Ugama Islam dilaksanakan.
iii. Mentadbir dan melaksanakan kehendak Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77 dan Akta-Akta atau Perintah-Perintah yang berkaitan dengan Majlis Ugama Islam.
iv. Mengkaji dan meneliti isu-isu keugamaan dan semasa bagi penetapan dasar yang akan dibuat oleh Majlis Ugama Islam.
v. Mentadbir dan mengawal harta-harta Majlis Ugama Islam.

🏢Menjadi Urusetia Kepada Majlis Ugama Islam

Jabatan Majlis Ugama Islam diketuai oleh Setiausaha Majlis Ugama Islam yang dilantik di bawah bab 14 Akta Majlis Ugama Islam Dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77, adalah merupakan urusetia kepada Majlis Ugama Islam. Jabatan Majlis Ugama Islam ditubuhkan pada 20hb. Muharram 1426 bersamaan 1hb. Mac 2005.

🏛️Sejarah Penubuhan

Sebelum penubuhan Majlis Ugama Islam, terdapat sebuah badan yang dinamakan Majlis Penasihat Syariah yang ditubuhkan dalam tahun 1948 yang dipengerusikan sendiri oleh Sultan dan ahli-ahlinya adalah terdiri daripada beberapa orang pembesar negara dan ahli-ahli ugama. Badan ini berjalan sehingga penubuhan Majlis Ugama Islam.

Majlis Ugama Islam ditubuhkan pada tahun 1956 pada zaman pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maulana Al-Sultan Sir Muda Omar Ali Saifuddin Sa’adul Khairil Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-28 iaitu ayahanda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Penubuhan Majlis Ugama Islam adalah menurut Undang-Undang No. 20/1955 Undang-Undang Majlis Ugama Dan Mahkamah-Mahkamah Kadi 1955 yang berkuat kuasa pada 1hb. Februari 1956. Undang-undang ini adalah digubal berdasarkan Undang-Undang Majlis Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Negeri Kelantan.

Dengan tergubalnya undang-undang itu juga, maka jawatan mufti diwujudkan, kedudukan kadi-kadi dan mahkamah-mahkamah kadi ditinggikan dan dikemaskan pada ketika itu. Undang-undang tersebut telah dipinda pada tahun 1984 dan kini dikenali dengan gelaran Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77 Undang-Undang Negara Brunei Darussalam pindaan 1984.

Pada masa ini sebahagian daripada Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77 yang berkaitan dengan Jawatankuasa Kehakiman dan Mahkamah-Mahkamah Kadi dan yang berkaitan dengan Pernikahan, Perceraian dan Nafkah telahpun dimansuhkan mulai 1hb. Muharram 1422 bersamaan 26hb. Mac 2001 setelah berkuat kuasa Akta Mahkamah-Mahkamah Syariah Penggal 184 dan Perintah Darurat Undang-Undang Keluarga Islam.

Dengan berkuat kuasanya Akta Mahkamah-Mahkamah Syariah Penggal 184 itu maka seorang Ketua Hakim Syar’ie dan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah telah dilantik yang terdiri daripada Penal Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Hakim-Hakim Mahkamah Rendah Syariah. Manakala Mahkamah-Mahkamah Syariah telah diwujudkan dan terdiri daripada 3 peringkat mahkamah iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

🛠️Tugas Dan Peranan

Di antara tugas dan peranan utama Jabatan Majlis Ugama Islam adalah seperti berikut:

  • Mengurus hal ehwal pentadbiran Majlis Ugama Islam dan hal ehwal yang berkaitan dengannya serta jawatankuasa-jawatankuasa di bawahnya.
  • Membantu pada menyediakan hal ehwal dasar dan undang-undang yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam dan Ugama Islam.
  • Membuat penyelidikan mengenai dengan isu-isu ugama Islam.
  • Mentadbir dan melaksanakan kehendak Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77 serta Akta-Akta atau Perintah-Perintah lain yang berkaitan dengan Majlis Ugama Islam.

📊Bahagian

Terdapat 4 bahagian dan sebuah badan pelaburan diletakkan di bawah Jabatan Majlis Ugama Islam seperti berikut:

  • Bahagian Pentadbiran
  • Bahagian Mesyuarat Majlis
  • Bahagian Undang-Undang
  • Bahagian Kewangan Dan Perakaunan
  • Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam

📍​Alamat Dan Lokasi

Tingkat 3, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis, Bandar Seri Begawan, BB3910, Negara Brunei Darussalam.

PAUTAN BERKAITAN