Pulaie, Khamis, 16 Jamadilakhir 1448 bersamaan 26 November 2026–Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, melalui Bahagian Penyebaran Da'wah (Ceramah), telah mengadakan Majlis Apresiasi Program Pemantapan Da'ie: Memperkasa Da'wah Digital 1448H/2026M pada pagi ini, bertempat di Dewan Serbaguna, Pusat Da'wah Islamiah.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir ialah Yang Mulia Pengiran Hajah Haslina Suriani binti Pengiran Haji Piut, Pemangku Penolong Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, pegawai-pegawai kanan Pusat Da'wah Islamiah, Ketua-Ketua Bahagian, Ketua-Ketua Urus Setia, Ketua-Ketua Cawangan Da'wah Daerah, para peserta program, fasilitator, penolong fasilitator serta ahli-ahli jawatankuasa.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Pengiran Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan, Pemangku Pegawai Ugama Kanan, Pusat Da'wah Islamiah, yang mewakili Yang Mulia Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah.
Dalam ucapannya alu-aluannya, menekankan bahawa perkembangan teknologi digital dan media sosial telah mengubah cara masyarakat, khususnya generasi muda, mendapatkan dan menerima maklumat. Platform seperti Instagram, TikTok dan YouTube bukan sahaja menjadi ruang hiburan, malah berpotensi besar untuk dimanfaatkan sebagai medium penyebaran ilmu dan mesej Islam secara kreatif, interaktif dan berkesan. Sehubungan itu, pendekatan dakwah perlu mengambil kira keadaan dan keperluan masyarakat serta memanfaatkan medium yang dekat dengan mereka.
Beliau turut menjelaskan bahawa Program Pemantapan Da'ie: Memperkasa Da'wah Digital yang diadakan pada 15 hingga 17 Jamadilawal 1448 bersamaan 26 hingga 28 Oktober 2026 di Dewan Mau'izhah, Bangunan Darul Huda, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah disertai seramai 30 orang da'ie, terdiri daripada 17 orang peserta lelaki dan 13 orang peserta perempuan. Fasilitator bagi program tersebut ialah Yang Mulia Awang Muhammad Safwan bin Mohd. Suffian, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Sepanjang tiga hari program, para peserta didedahkan kepada ilmu dan kemahiran dalam merancang, menghasilkan dan menyampaikan kandungan dakwah digital, dan seterusnya menghasilkan video dakwah sendiri.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa Majlis Apresiasi berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap komitmen, prestasi dan kreativiti yang ditunjukkan oleh para peserta. Majlis juga bertujuan untuk meningkatkan motivasi dan keyakinan para da'ie agar terus memanfaatkan platform digital dalam penyebaran dakwah. Dalam pada itu, para peserta turut diingatkan agar menghasilkan kandungan dakwah yang bukan sahaja menarik, malah sahih, beradab serta berlandaskan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Mazhab Syafi'i, selaras dengan pegangan negara.
Atur cara majlis diteruskan dengan ucapan daripada wakil peserta program, diikuti dengan tayangan video Montaj Program Pemantapan Da'ie: Memperkasa Da'wah Digital. Sejurus selepas itu, penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta, sijil penghargaan kepada para hakim, fasilitator dan penolong fasilitator, disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis.
Anugerah turut disampaikan kepada para pemenang bagi kategori, iaitu Kategori Video Da'wah Terbaik, Johan disandang oleh Yang Mulia Dayang Siti Juhaidah binti Hj Bujang; Naib Johan ialah Yang Mulia Dayangku Nabilah Busyra binti Pengiran Abdul Razak; dan Tempat Ketiga ialah Yang Mulia Dayang Siti Syuhaidah binti Hj Mohd Yusoff.
Anugerah Insentif Khas pula, Anugerah Insentif Mesej Da'wah disandang oleh Yang Mulia Awang Abdul Khaliq bin Kamree; Anugerah Insentif Penyampaian Berkesan dimenangi oleh Yang Mulia Awang Hj Ahmad Muzhafar bin Hj Marsidi; dan Anugerah Insentif Video Terbaik pula disandang oleh Yang Mulia Dayang Zatul Adliah binti Hj Zaini.
Majlis diakhiri dengan bacaan Surah Al-'Ashr dan Tasbih Kaffarah. Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama berharap agar usaha ini menjadi pemangkin kepada kesinambungan penyebaran dakwah yang lebih dinamik, relevan dan berimpak tinggi, selaras dengan perkembangan teknologi masa kini, sekali gus memperluas jangkauan mesej dakwah Islam dan menyumbang kepada pemartabatan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam.









Foto: PDI