Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

 MABIMS ISLAMIC ASTRONOMY WORKSHOP

27 November 2026

MABIMS ISLAMIC ASTRONOMY WORKSHOP

​

Bandung, Republik Indonesia, Jumaat, 17 Jamadilakhir 1448 bersamaan 27 November 2026–Dua orang perwakilan daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam, telah menghadiri MABIMS Islamic Astronomy Workshop yang berlangsung pada 24 hingga 26 November 2026 di Bandung, Republik Indonesia.

Mewakili kementerian ialah Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Ahli Jawatankuasa Teknikal Falak Syar'ie Negara Brunei Darussalam (JTFSNBD); dan Yang Mulia Pengiran Muhammad Azrin bin Pengiran Jarail, Penolong Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS selaku Ketua Sekretariat JTFSNBD.

Bengkel anjuran Kementerian Agama Republik Indonesia itu bertujuan memperkukuh kerjasama teknikal dan meningkatkan kemahiran dalam bidang ilmu falak dalam kalangan negara anggota MABIMS, iaitu Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura. Bengkel tersebut turut disertai oleh peserta jemputan dari Republik Filipina.

Antara topik yang diketengahkan ialah hubungan kedudukan matahari dan bumi dengan penentuan waktu sembahyang, teknik merakam dan memproses imej fajar dan syafak, penggunaan teleskop dan astrofotografi, serta pemprosesan imej anak bulan (hilal). Atur cara bengkel turut merangkumi lawatan ke Observatorium Bosscha di Kabupaten Bandung Barat, Jawa Barat, Indonesia.

Penyertaan ini memberi peluang kepada kedua-dua wakil Negara Brunei Darussalam untuk bertukar pandangan dengan peserta dari negara anggota MABIMS mengenai cerapan anak bulan dari perspektif ilmu falak syar'ie, khususnya kaitannya dengan penentuan awal bulan Hijrah dan pelaksanaan ibadah. Dapatan bengkel ini boleh dijadikan rujukan oleh Jawatankuasa Teknikal Falak Syar'ie Negara Brunei Darussalam (JTFSNBD) dalam menyokong pelaksanaan rukyah anak bulan bagi penentuan awal Ramadan, Syawal dan Zulhijjah.

​