Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

KEMENTERIAN PENDIDIKAN DAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA PERKENALKAN KURIKULUM PENDIDIKAN ISLAM TAHUN 4 BAHARU DENGAN  PENDEKATAN LEBIH INTERAKTIF DAN SISTEMATIK  TAHUN 1448H / 2026M

26 November 2026

KEMENTERIAN PENDIDIKAN DAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA PERKENALKAN KURIKULUM PENDIDIKAN ISLAM TAHUN 4 BAHARU DENGAN PENDEKATAN LEBIH INTERAKTIF DAN SISTEMATIK TAHUN 1448H / 2026M

​

Berakas 'A', Khamis, 16 Jamadilakhir 1448 bersamaan 26 November 2026–Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Ahli Jawatankuasa Kerja Sukatan Pelajaran dan Penilaian bagi Pengintegrasian Mata Pelajaran Ugama ke dalam Sistem Pendidikan Umum, pada pagi tadi mengadakan Sesi Sosialisasi Pelaksanaan Kurikulum Baharu Pendidikan Islam Tahun 4. Sesi yang diadakan di Dewan Serbaguna Sekolah Ugama Lambak, Jalan Bedil itu dihadiri oleh pegawai-pegawai daripada kedua-dua Kementerian, ketua-ketua guru ugama dan guru-guru mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta seluruh negara. 

Kurikulum baharu mata pelajaran Pendidikan Islam Tahun 4 disusun bagi memberi kefahaman dan membentuk penghayatan ugama yang kukuh melalui pembelajaran yang lebih interaktif serta mudah difahami oleh pelajar.

Kurikulum baharu ini turut menerapkan pendekatan pedagogi kontemporari berasaskan pembelajaran abad ke-21 yang menekankan kemahiran berfikir kritis, komunikasi, kolaborasi dan kreativiti. Reka bentuk buku teks juga diperkemas dengan penggunaan warna dan ilustrasi yang lebih menarik, manakala kandungan pembelajaran disusun secara sistematik mengikut tahap perkembangan pelajar. Selain itu, aktiviti pengukuhan berasaskan pengalaman serta penyelarasan antara kurikulum, kaedah pengajaran dan pentaksiran turut diberikan perhatian bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran.

Sesi sosialisasi tersebut bertujuan memberikan pendedahan kepada para guru mengenai matlamat kurikulum, sukatan pelajaran dan penilaian mata pelajaran Pendidikan Islam Tahun 4 sebagai persiapan sebelum pelaksanaannya di sekolah-sekolah, di samping membuka ruang perbincangan dan perkongsian bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

 

Foto: JPI​