Mulaut, Khamis, 16 Jamadilakhir 1448 bersamaan 26 November 2026–Program Satu Minggu Satu Juzu' (1M1J) yang diperkenalkan di persekolahan ugama sejak tahun 2016 merupakan antara inisiatif berterusan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memantapkan penguasaan bacaan Al-Quran dalam kalangan murid, di samping membudayakan pembacaan Al-Quran sebagai amalan harian.
Usaha tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Pengajian Islam dalam menyokong hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melahirkan generasi yang celik Al-Quran.
Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam mengungkayahkan Majlis Khatam Al-Quran Program 1 Minggu 1 Juzu' (1M1J) bagi meraikan seramai 74 orang murid sekolah berkenaan yang telah berjaya menyempurnakan bacaan 30 juzuk Al-Quran. Majlis diadakan di Dewan Serbaguna sekolah tersebut.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Muhammad Fauzi bin Haji Zaini, Pegawai Pengajian Islam Daerah Bagi Kawasan Brunei III, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah secara beramai-ramai dipimpin oleh Tetamu Khas Majlis, diikuti bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam. Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Khatam oleh Awang Adam Ukaasya Al-Hamidi bin Mohammad Ali.
Seramai 74 orang murid yang terdiri daripada 40 orang murid lelaki dan 34 orang murid perempuan menerima sijil khatam yang disampaikan oleh Tetamu Khas Majlis, dengan iringan Dikir Marhaban yang dipersembahkan oleh guru-guru lelaki sekolah berkenaan, sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd Rafie bin Haji Abdullah, Tenaga Pengajar sekolah tersebut.
Foto: JPI