Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PERTANDINGAN DIKIR SYARAFIL ANAM BAGI PEGAWAI MASJID,  AHLI JAWATANKUASA TAKMIR MASJID, MUSLIMAH MASJID, JEMAAH MASJID, BELIA DAN BELIAWANIS MASJID SENEGARA BAGI TAHUN 1448H/2026M

26 November 2026

PERTANDINGAN DIKIR SYARAFIL ANAM BAGI PEGAWAI MASJID, AHLI JAWATANKUASA TAKMIR MASJID, MUSLIMAH MASJID, JEMAAH MASJID, BELIA DAN BELIAWANIS MASJID SENEGARA BAGI TAHUN 1448H/2026M

​

Daerah Belait, Khamis, 16 Jamadilakhir 1448 bersamaan 26 November 2026–Dikir Syarafil Anam merupakan salah satu khazanah berharga yang diwarisi oleh orang-orang Melayu Brunei dan salah satu kebudayaan berugama yang telah diamalkan dalam kehidupan orang-orang Brunei sejak zaman berzaman.

Dikir Syarafil Anam mengandungi selawat dan salam serta kisah kehidupan dan keperibadian yang agung Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam yang telah dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan banyak keistimewaan.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Imarah dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait mengadakan Pertandingan Dikir Syarafil Anam bagi Pegawai Masjid, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Muslimah Masjid, Jemaah Masjid, Belia dan Beliawanis Masjid Senegara Bagi Tahun 1448H/2026M.

Dua (2) kategori dipertandingkan iaitu kategori lelaki dan kategori perempuan. Pertandingan diadakan pada petang tadi di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait.

Hadir selaku Tetamu Kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Yang Mulia Awang Muhammad Faiq bin Haji Rani, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Tujuan pertandingan ini diadakan adalah bagi memberikan bimbingan, pendedahan serta peluang kepada para peserta mempelajari teknik berdikir yang betul dan mampu mempersembahkan Dikir Syarafil Anam dengan baik dan sempurna, yang secara tidak langsung dapat memperbaiki dan meningkatkan lagi mutu bacaan Dikir Syarafil Anam dari segi fashahah, lagu dan suara. Di samping itu, menggalakkan para peserta untuk terus mempelajari dan menguasai lagu-lagu dikir supaya dapat menyampaikan hajat masyarakat awam khususnya bagi menyerikan acara keagamaan. Ianya juga dihasrat agar para peserta sentiasa mengamalkan selawat ke atas Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam setiap hari semata-mata untuk beroleh pahala, berkat dan rahmat dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

 

Foto: JPI​