Bandar Seri Begawan, Selasa, 14 Jamadilakhir 1448 bersamaan 24 November 2026–Seramai 143 orang murid Sekolah Ugama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menerima sijil dan penghargaan pada Majlis Penyampaian Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Darjah VI Tahun 1447H/2025M serta Penganugerahan Hadiah kepada Murid-Murid Cemerlang Peperiksaan Akhir Tahun dan Peperiksaan Kelayakan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Darjah VI Tahun 1448H/2026M yang diadakan pada petang tadi di Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Daripada jumlah tersebut, seramai 92 orang murid menerima Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Darjah VI Tahun 1447H/2025M, manakala 36 orang murid menerima hadiah atas pencapaian cemerlang dalam Peperiksaan Akhir Tahun 2026.
Sementara itu, 15 orang murid turut menerima hadiah atas pencapaian cemerlang dalam Peperiksaan Kelayakan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Darjah VI Tahun 1448H/2026M.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Azman bin Haji Jaya, Ketua Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan persembahan. Acara kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar Sekolah Ugama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Yang Mulia Awang Azmerul bin Haji Haris, selaku pengerusi majlis. Acara disusuli dengan penyampaian sijil dan hadiah kepada para penerima yang disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis.
Penganjuran majlis berkenaan merupakan salah satu usaha untuk mengiktiraf pencapaian dan kejayaan murid-murid, di samping menghargai sokongan ibu bapa serta komitmen para guru dalam membimbing mereka. Pengiktirafan tersebut diharap dapat menjadi dorongan kepada murid-murid untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan.
Foto: JPI