Berakas, Ahad, 12 Jamadilakhir 1448 bersamaan 22 November 2026-Pertandingan Tenpin Bowling sempena Hari Keluarga anjuran Pusat Kegiatan Warga Emas Brunei dan Muara dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Muallaf (Kebajikan Muallaf), Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah diadakan di Golden Bowling Company, Airport Mall, Berakas pada pagi tadi.
Acara ini merupakan perlawanan persahabatan julung kali yang dianjurkan oleh Pusat Kegiatan Warga Emas Brunei dan Muara bersama ahli-ahli Persatuan Nurul Islam. Inisiatif ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara kedua-dua organisasi, di samping memberikan peluang kepada para peserta untuk mencungkil dan mengembangkan bakat dalam sukan tenpin bowling.
Pertandingan tersebut disertai seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Pusat Kegiatan Warga Emas Brunei dan Muara dan Persatuan Nurul Islam. Para peserta dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kategori lelaki dan kategori perempuan, dengan setiap kategori melibatkan 20 orang peserta.
Selain menjadi medan untuk merebut gelaran juara, pertandingan ini turut berperanan sebagai platform untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan warga emas serta ahli-ahli persatuan. Pada masa yang sama, aktiviti seumpama ini dapat memupuk semangat kesukanan, kerjasama berpasukan serta memperkukuh hubungan persahabatan dalam kalangan para peserta.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Abu Bakar bin Burut. Acara kemudiannya diteruskan dengan balingan bola bowling sebagai simbolik perasmian pertandingan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd Yussof bin Mohd Salleh, Pengurus Pusat Kegiatan Warga Emas Brunei dan Muara.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan.
Penganjuran aktiviti seumpama ini diharapkan akan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai salah satu usaha berterusan untuk memperkasa penglibatan warga emas dalam aktiviti kemasyarakatan, kesukanan dan riadah, di samping memperkukuh hubungan silaturahim antara organisasi serta masyarakat setempat.
Foto: PDI