Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

ACARA WALKATON SEMPENA SAMBUTAN SEMARAK JUBLI PLATINUM 70 TAHUN PENDIDIKAN UGAMA FORMAL TAHUN 1448H / 2026M

22 November 2026

ACARA WALKATON SEMPENA SAMBUTAN SEMARAK JUBLI PLATINUM 70 TAHUN PENDIDIKAN UGAMA FORMAL TAHUN 1448H / 2026M

​

Bandar Seri Begawan, Ahad, 12 Jamadilakhir 1448 bersamaan 22 November 2026–Pendidikan ugama bukan sahaja menekankan aspek keilmuan dan kerohanian, malah turut menggalakkan keseimbangan dalam kehidupan yang merangkumi kesihatan jasmani, mental dan sosial. Seiring dengan Sambutan Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal di Negara Brunei Darussalam, pelbagai aktiviti turut dianjurkan bagi menyemarakkan sambutan berkenaan, termasuk usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Jabatan Pengajian Islam dan masyarakat umum.

Sehubungan itu, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengadakan Acara Walkaton Sempena Sambutan Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal bagi Tahun 1448H/2026M yang diadakan pada pagi tadi di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dr. Haji Arman bin Haji Asmad, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa, diikuti dengan sesi pemanasan badan sebelum para peserta memulakan walkaton sejauh tiga kilometer yang bermula dan berakhir di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja. Acara berkenaan turut diserikan dengan cabutan nama bertuah sebagai salah satu pengisian bagi memeriahkan lagi suasana sambutan.

Penganjuran acara tersebut antara lain bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah dalam kalangan warga jabatan, para pendidik, dan masyarakat umum, selain memupuk semangat kerjasama dan perpaduan, serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah yang melibatkan masyarakat umum, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

 

Foto: JPI​