Tutong, Sabtu, 11 Jamadilakhir 1448 bersamaan 21 November 2026–Kawasan Pantai Pengasing di Kampung Sengkarai, Daerah Tutong menjadi tumpuan aktiviti gotong-royong pagi tadi menerusi Inisiatif Program Penyiangan dan Pembersihan Pantai Pengasing Daerah Tutong, yang diadakan sempena Jubli Platinum 70 Tahun Institusi Pendakwaan Syariah (1956–2026).
Program ini merupakan salah satu usaha sokongan di bawah Projek Penurunan Kes Jenayah Syariah yang dikoordinasikan oleh Bahagian Pendakwaan Syar'ie, Kementerian Hal Ehwal Ugama, dengan matlamat utama membersihkan kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot bagi menyokong usaha pencegahan jenayah Syariah secara menyeluruh.
Pelaksanaan program hari ini dijayakan dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong, Pejabat Daerah Tutong, Batalion Kedua Tentera Darat Diraja Brunei, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) Daerah Tutong, Majlis Perundingan Kampung Sengkarai, dan Majlis Perundingan Kampung Penabai dan Kuala Tutong.
Bagi memastikan kerja-kerja pembersihan berjalan teratur dan berkesan, kawasan kerja dibahagikan kepada empat (4) zon berdasarkan peta zon aktiviti. Aktiviti tertumpu kepada pembersihan kawasan pantai serta pemangkasan dan penyiangan rumput lalang, pokok-pokok kecil dan tumbuh-tumbuhan yang menghalang pandangan atau laluan di lokasi yang dikenal pasti.
Selain menjadikan kawasan Pantai Pengasing lebih bersih, kemas dan terpelihara, inisiatif sempena Sambutan Jubli Platinum ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan persekitaran yang selamat dan terang dalam mencegah salah laku, memperkukuh sinergi antara agensi kerajaan, pemimpin akar umbi dan masyarakat setempat, serta menggalakkan penjagaan dan pemantauan berterusan di kawasan berkenaan.
Turut hadir ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong.




Foto: BPS