Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN  SEMPENA SAMBUTAN SEMARAK JUBLI PLATINUM 70 TAHUN PENDIDIKAN UGAMA FORMAL TAHUN 1448H / 2026M

21 November 2026

MAJLIS KHATAM AL-QURAN SEMPENA SAMBUTAN SEMARAK JUBLI PLATINUM 70 TAHUN PENDIDIKAN UGAMA FORMAL TAHUN 1448H / 2026M

​

Bandar Seri Begawan, Sabtu, 11 Jamadilakhir 1448 bersamaan 21 November 2026–Al-Quran merupakan sumber panduan utama umat Islam dan menjadi antara tunjang penting dalam sistem pendidikan ugama di Negara Brunei Darussalam. Sejak bermulanya Pendidikan Ugama Formal pada 16 September 1956, pengajaran dan pembelajaran Al-Quran terus diberikan penekanan dalam usaha melahirkan generasi yang bukan sahaja mahir membaca ayat-ayat suci Al-Quran, malah mampu memahami, menghayati dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian. Usaha berterusan ini juga mencerminkan hasrat negara untuk melahirkan generasi celik Al-Quran, selaras dengan gagasan Negara Zikir.

Sebagai tanda kesyukuran sempena Sambutan Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengadakan Majlis Khatam Al-Quran yang melibatkan penyertaan seramai 70 orang peserta terpilih dari keempat-empat daerah. Para peserta terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah Arab dan sekolah ugama serta peserta-peserta Skim Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak (STAKA) dan Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR). Majlis berkenaan diadakan pada pagi tadi di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dr. Haji Arman bin Haji Asmad, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah secara beramai-ramai yang dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis, diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam serta bacaan Doa Khatam oleh Awang Ahmad Harith Irfan bin Haji Umardani, Pelajar Tahun 1, Skim Tilawah Al-Quran Remaja. Majlis turut diserikan dengan persembahan Dikir sebelum diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para peserta yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Zamery bin Haji Nayan, Pegawai di Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sambutan Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal ini merupakan satu pencapaian bermakna yang mencerminkan perjalanan panjang dan komitmen berterusan negara dalam memperkasa pendidikan ugama. Penganjuran majlis seumpama ini turut menjadi wadah untuk menghargai legasi yang telah dibina sejak tujuh dekad lalu, di samping menyemarakkan semangat untuk meneruskan usaha memartabatkan pendidikan ugama demi manfaat generasi akan datang.

 

Foto: JPI​