Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENGUMUMAN DAN PENYAMPAIAN HADIAH MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT SEPARUH AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1448 HIJRAH / 2027 MASIHI

19 November 2026

MAJLIS PENGUMUMAN DAN PENYAMPAIAN HADIAH MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT SEPARUH AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1448 HIJRAH / 2027 MASIHI

​

Berakas, Khamis, 09 Jamadilakhir 1448 bersamaan 19 November 2026–Seramai sebelas (11) orang peserta yang terdiri daripada lima (5) orang Qari dan enam (6) orang Qariah telah berjaya melayakkan diri ke Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah / 2027 Masihi.

Mereka merupakan peserta yang berjaya mara setelah bertanding dalam Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah / 2027 Masihi yang diadakan selama tiga hari berturut-turut mulai hari Isnin hingga Rabu, 06 hingga 08 Jamadilakhir 1448 bersamaan 16 hingga 18 November 2026 bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Seramai 79 orang peserta iaitu 61 orang Qari dan 18 orang Qariah telah memperdengarkan bacaan masing-masing sepanjang Musabaqah tersebut.

Sehubungan dengan itu, Majlis Pengumuman Keputusan Musabaqah berkenaan diadakan pada petang tadi di tempat yang sama.  Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Turut hadir, Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dr Haji Arman bin Haji Asmat, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; pengerusi-pengerusi bersama; pengarah-pengarah; dan ketua-ketua jabatan serta para pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Awang Abdul Najib Syazwan bin Shahrani, Imam Tingkat 1, Masjid Pehin Khatib Abdullah Kampung Kulapis, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Aziman bin Awang Haji Zaman, Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penyelanggara Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1448H/2027M.

Acara diteruskan dengan Pengumuman Keputusan Musabaqah oleh Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah selaku Pengerusi Jemaah Hakim Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1448H/2027M.

Majlis turut diserikan dengan persembahan Selawat oleh Ameer Al-Huffaz, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan diikuti dengan persembahan membaca Al-Qur'an oleh wakil peserta yang terpilih ke Peringkat Akhir Kebangsaan.

Seterusnya, penyampaian hadiah dan cenderamata kepada para peserta dan Hakim Musabaqah yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis.  Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Abdul Najib Syazwan bin Shahrani, Imam Tingkat 1, Masjid Pehin Khatib Abdullah Kampung Kulapis, salah seorang peserta Musabaqah.

Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan merupakan projek tahunan Kementerian Hal Ehwal Ugama dan diadakan secara berperingkat-peringkat, iaitu melalui Peringkat Saringan Kebangsaan. Ianya merupakan laluan permulaan dan medan untuk para Qari dan Qariah Negara melangkah ke Peringkat Akhir Kebangsaan yang diadakan kemudian.

Penganjuran Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan dihasrat agar dapat memberikan pendedahan dan galakan kepada Qari dan Qariah Negara dalam meningkatkan mutu pembacaan Al-Qur'an mereka, di samping membuka minda dan minat masyarakat untuk mendalami serta mempelajari teknik bacaan yang betul, lebih teratur dan sempurna.

Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1448H/2027M dianjurkan bersama oleh Bahagian Kemajuan Syiar Islam dan Jabatan Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama.


Foto: PDI dan BPAAM