Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENGHARGAAN DAN DOA KESYUKURAN   BAGI GRADUAN CEMERLANG BIASISWA KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA  TAHUN 2026M

19 November 2026

MAJLIS PENGHARGAAN DAN DOA KESYUKURAN BAGI GRADUAN CEMERLANG BIASISWA KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA TAHUN 2026M

​

Gadong, Khamis, 09 Jamadilakhir 1448 bersamaan 19 November 2026–Seramai 10 orang graduan penerima biasiswa Kementerian Hal Ehwal Ugama peringkat Ijazah Sarjana Muda yang berjaya menamatkan pengajian pada tahun ini diraikan dalam Majlis Penghargaan dan Doa Kesyukuran yang diadakan pada pagi tadi di Hotel Antarabangsa Rizqun.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dr. Haji Arman bin Haji Asmad, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis diadakan sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala atas kejayaan para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi, sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Yang Mulia Awang Mohammad Aimaduddin bin Alias, diikuti dengan penyampaian intisari ayat oleh Yang Mulia Awang Muhamad Haziq Amiruddin bin Mohamad Ali dan Yang Mulia Awang Mohammad Syahmi Syamini bin Mohammad Ali. Ketiga-tiga merupakan antara graduan yang diraikan.

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Majlis, Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama diikuti dengan ucapan daripada Yang Mulia Dayang Fatin Nadhirah binti Shari yang mewakili para graduan.

Atur cara kemuncak majlis menyaksikan penyampaian sijil dan hadiah penghargaan kepada para graduan yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis, sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran.

Penganjuran majlis ini merupakan salah satu inisiatif dalam mendukung Rancangan Strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama 2025–2029, selaras dengan Matlamat Pertama Wawasan Brunei 2035, iaitu melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

 

Foto: JPI​