Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA  PERINGKAT SEPARUH AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1448H/2027M  (HARI KETIGA)

18 November 2026

MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT SEPARUH AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1448H/2027M (HARI KETIGA)

​

Berakas, Rabu, 08 Jamadilakhir 1448 bersamaan 18 November 2026-Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1448H/2027M yang diadakan selama tiga (3) hari berturut-turut, bermula pada hari Isnin hingga Rabu, 06 hingga 08 Jamadilakhir 1448 bersamaan 16 hingga 18 November 2026, diteruskan lagi hari ini bagi hari ketiga dan terakhir Musabaqah.

Seramai 26 orang peserta, terdiri daripada 21 orang Qari dan lima (5) orang Qariah, memperdengarkan bacaan masing-masing pada sesi pagi dan petang hari ini, bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Hadir selaku Tetamu Khas bagi sesi pagi ialah Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Pemangku Penghulu Mukim Zon 1 dan Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau.

Majlis pada pagi tadi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Zulfadhli bin Haji Awang, salah seorang peserta Musabaqah.

Seramai empat belas (14) orang peserta, terdiri daripada sebelas (11) orang Qari dan tiga (3) orang Qariah, telah memperdengarkan bacaan masing-masing pada sesi pagi.

Manakala pada sesi petang, seramai dua belas (12) orang peserta, terdiri daripada sepuluh (10) orang Qari dan dua (2) orang Qariah turut memperdengarkan bacaan masing-masing.

Hadir selaku Tetamu Khas bagi sesi petang ialah Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Belimbing, dan Yang Berhormat Awang Haji Mohd Salleh bin Haji Othman, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat, Ulu Belait.

Majlis pada petang tadi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Ahmad Fathurrahman Nur Firdaus bin Pengiran Haji Hassanudin, Imam Tingkat 1, Masjid Kampung Sungai Hanching  juga salah seorang peserta Musabaqah.

Musabaqah ini turut disiarkan secara langsung menerusi akaun Instagram rasmi Kementerian Hal Ehwal Ugama, @kheu.brunei.

Penganjuran Musabaqah ini bertujuan untuk memartabatkan syiar Islam melalui pembacaan dan penghayatan Al-Qur'an, di samping melahirkan Qari dan Qariah Negara yang berkualiti, berilmu serta berakhlak mulia. Selain itu, Musabaqah ini juga menjadi platform untuk mencungkil dan mengasah bakat serta meningkatkan mutu pembacaan Al-Qur'an dalam kalangan masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam.

Majlis Pengumuman Keputusan dan Penyampaian Sijil Penghargaan akan diadakan esok, 19 November 2026 di tempat yang sama.

Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1448H/2027M dianjurkan bersama oleh Bahagian Kemajuan Syiar Islam dan Jabatan Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama.​