Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN PELAJAR-PELAJAR SANAH 6 DAN 11 MA’HAD ISLAM BRUNEI BAGI TAHUN 1448H / 2026M

18 November 2026

MAJLIS KHATAM AL-QURAN PELAJAR-PELAJAR SANAH 6 DAN 11 MA’HAD ISLAM BRUNEI BAGI TAHUN 1448H / 2026M

​

Tutong, Rabu, 08 Jamadilakhir 1448 bersamaan 18 November 2026–Bagi menyemai kecintaan terhadap Al-Quran serta membudayakan pembacaannya sebagai amalan dalam kehidupan seharian, Ma'had Islam Brunei, Daerah Tutong mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bertempat di Dewan Besar sekolah berkenaan bagi meraikan seramai 130 orang pelajar Sanah 6 dan Sanah 11, terdiri daripada 62 orang pelajar lelaki dan 68 orang pelajar perempuan yang telah mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.

Hadir selaku Tetamu Khas Majlis, Yang Mulia Dr Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha, Penolong Ra'es I (Penyelidikan, Pengantarabangsaan dan Perkhidmatan), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan yang turut memulakan majlis dengan memimpin bacaan Surah Al-Fatihah.

Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti bacaan Takhtim dan Doa Khatam yang dipimpin oleh Awang Mohammad Faiz Nur Syakirin bin Mohammad Shah Ifolrizal, serta persembahan Dikir dan penyampaian sijil kepada para peserta yang disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Khairul Nizam bin Hamdan.

Majlis Khatam Al-Quran ini merupakan antara usaha berterusan dalam membentuk generasi yang celik Al-Quran, istiqamah dalam pembacaannya serta menjadikan Al-Quran sebagai pedoman dalam kehidupan. Penganjurannya turut mencerminkan komitmen Jabatan Pengajian Islam dalam memperkasa pendidikan Al-Quran dan menyemarakkan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam.

 

Foto JPI​