Yogyakarta, Selasa, 07 Jamadilakhir 1448 bersamaan 17 November 2026–Kementerian Hal Ehwal Ugama menyertai Bengkel Harmonisasi Kurikulum Penghayatan Beragama Negara Anggota MABIMS Tahun 2026 yang diadakan pada 13 hingga 17 November 2026 bertempat di Grand Keisha Hotel, Sleman, Yogyakarta, Republik Indonesia.
Bengkel anjuran Kementerian Agama Republik Indonesia dengan tema “MABIMS HARMONY 2026: Faith in Harmony, Humanity in Action" ini menghimpunkan wakil-wakil daripada negara anggota MABIMS dengan tujuan mengenal pasti persamaan dalam kurikulum penghayatan beragama serta merumuskan cadangan bersama bagi pembangunannya. Selain delegasi Negara Brunei Darussalam, Malaysia dan Republik Singapura, bengkel ini turut disertai oleh pegawai-pegawai Direktorat Jenderal Pendidikan Islam, Kementerian Agama Republik Indonesia serta pengetua-pengetua madrasah terkemuka dari seluruh Indonesia, antaranya dari MAN (Madrasah Aliyah Negeri) 1 Yogyakarta, MTsN (Madrasah Tsanawiyah Negeri) 1 Sleman, MAN Insan Cendekia Gorontalo, MTsN 1 Kota Kediri, MAN 2 Kota Malang dan MAN 2 Kudus.
Perwakilan Kementerian Hal Ehwal Ugama terdiri daripada empat (4) orang pegawai iaitu Yang Mulia Awang Haji Johar bin Haji Jumat, Pegawai Pelajaran Ugama Kanan dan Ketua Bahagian Kurikulum, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku ketua delegasi dan pembentang; Yang Mulia Pengiran Hasinol Zamri bin Pengiran Haji Piut, Guru Besar Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit selaku peserta; Yang Mulia Awang Muhammad Fauzi bin Haji Zaini, Pegawai Pengajian Islam Daerah bagi Kawasan Brunei III, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam selaku peserta; dan Yang Mulia Dayang Normassahrol Hafyzah binti Ahmad Sah, Pegawai Pelajaran, Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Sekretariat MABIMS Negara Brunei Darussalam.
Penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam bengkel ini sejajar dengan usaha Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk terus memperkukuhkan kurikulum dan penghayatan berugama dalam sistem pendidikan ugama negara melalui perkongsian dasar, pengalaman dan amalan terbaik dengan negara anggota MABIMS lain. Selain itu, penglibatan ini juga menyokong pelaksanaan Rancangan Strategik MABIMS 2026–2030 serta memperkukuh hubungan silaturahim dan jaringan profesional antara pegawai serta institusi pendidikan ugama serantau.
Bengkel berkenaan turut memuatkan sesi pembentangan kurikulum oleh setiap negara anggota, termasuk pembentangan bertajuk “Kurikulum Penghayatan Berugama dalam Konteks Negara Brunei Darussalam", perbincangan panel mengenai Kurikulum Berbasis Cinta dan tadbir urus madrasah, lawatan budaya ke Masjid Gedhe Kauman, Keraton Yogyakarta dan Candi Prambanan, serta lawatan peninjauan ke MAN 2 Kulon Progo yang bertujuan memberikan pengalaman langsung dalam pelaksanaan Modified Teaching Factory yang menggabungkan latihan kemahiran dengan penerapan akhlak mulia.
Kementerian Hal Ehwal Ugama berharap penyertaan ini akan memberi manfaat besar khususnya dalam meningkatkan kurikulum dan penghayatan berugama dalam sistem pendidikan ugama di Negara Brunei Darussalam.