Masin, Selasa, 07 Jamadilakhir 1448 bersamaan 17 November 2026–Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Masin telah menganjurkan Program “Akidah Mantap; Hidup Selamat" bagi memperkukuhkan kefahaman akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kalangan muslimah dan masyarakat setempat.
Program ini diadakan sebagai menyahut hasrat negara untuk terus memperkasa pengukuhan akidah umat Islam melalui aktiviti keilmuan dan pembangunan modal insan yang seimbang.
Seramai kira-kira 60 peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan wanita Jabatan Hal Ehwal Masjid, Ahli Jawatankuasa Takmir Muslimah Masjid Kampung Masin serta peserta Kelas Bimbingan Muslimah dari beberapa buah masjid di Daerah Brunei dan Muara menghadiri program tersebut pada pagi tadi bertempat di Masjid Kampung Masin.
Antara pengisian utama ialah ceramah bertajuk “Akidah Mantap; Hidup Selamat", penyerahan buku wakaf sumbangan hamba Allah serta bacaan doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Program ini bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai akidah Islam yang sebenar, mengukuhkan benteng diri daripada pengaruh yang boleh menjejaskan akidah, menggalakkan penglibatan muslimah dalam program keagamaan serta mengeratkan silaturahim sesama jemaah.
Semoga program seumpama ini akan terus menjadi platform yang berkesan dalam melahirkan masyarakat Islam yang berilmu, berakhlak dan berpegang teguh kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.