Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

HARI TERBUKA SEKOLAH TINGGI ARAB HASSANAL BOLKIAH TAHUN 1448 / 2026

17 November 2026

HARI TERBUKA SEKOLAH TINGGI ARAB HASSANAL BOLKIAH TAHUN 1448 / 2026

​

Bandar Seri Begawan, Selasa, 07 Jamadilakhir 1448 bersamaan 17 November 2026–Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah terus memperkukuh peranannya sebagai satu-satunya institusi pendidikan pra-universiti persekolahan Arab di Negara Brunei Darussalam melalui penganjuran Hari Terbuka Tahun 2026. Program berkenaan bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar persekolahan Arab dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengenai peluang pendidikan serta hala tuju akademik yang ditawarkan di institusi tersebut.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis dan seterusnya merasmikan Hari Terbuka berkenaan ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah, Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Bank Islam Brunei Darussalam.

Penganjuran program tersebut bertujuan memperkenalkan kemudahan, jurusan dan mata pelajaran yang ditawarkan di institusi berkenaan, di samping memberikan peluang kepada para pelajar dan ibu bapa untuk mendapatkan maklumat secara langsung mengenai tawaran biasiswa, peluang pembiayaan serta laluan melanjutkan pengajian.

Program berkenaan turut disertai oleh Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Bahagian Pembangunan Sumber Tenaga Manusia dan Biasiswa, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan; Bahagian Biasiswa, Kementerian Pertahanan; Bahagian Biasiswa, Sultan's Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Bahagian Biasiswa, Brunei Shell Petroleum Company Sendirian Berhad; Universiti Islam Sultan Sharif Ali; Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Universiti Brunei Darussalam, dan Universiti Teknologi Brunei.

Atur cara majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penyertaan kepada wakil agensi dan institusi yang mengambil bahagian, disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis, diikuti dengan lawatan ke ruang-ruang pameran.​