Katok, Selasa, 07 Jamadilakhir 1448 bersamaan 17 November 2026–Seramai 150 orang Muallaf menerima sijil pada Majlis Konvokesyen Skim Bimbingan Muallaf Kali Ke-4 Tahun 1448H/2026M yang diadakan pada pagi tadi di Dewan Serbaguna, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok.
Daripada jumlah tersebut, seramai 49 orang adalah dari Daerah Brunei dan Muara, 31 orang dari Daerah Belait, 48 orang dari Daerah Tutong dan 22 orang dari Daerah Temburong. Semua penerima ini telah berjaya menamatkan Skim Bimbingan Lanjutan II pada bulan September yang lalu.
Majlis konvokesyen ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada para Muallaf yang telah berjaya menamatkan skim-skim bimbingan Muallaf anjuran Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf), Pusat Da'wah Islamiah, dengan kerjasama Cawangan Da'wah di daerah-daerah. Selain itu, majlis ini juga bertujuan menghargai komitmen para peserta dalam mengikuti program-program bimbingan yang disediakan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Atur cara majlis dimulakan dengan perarakan masuk para peserta konvokesyen, diikuti dengan bacaan Sayyidul Istighfar beramai-ramai serta bacaan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Awang Sulhi bin Abdullah Sapin @ Sulih bin Sapih, peserta Skim Bimbingan Lanjutan II dari Daerah Belait, disusuli dengan ketibaan Tetamu Kehormat Majlis.
Sejurus selepas itu, Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, “Allah Peliharakan Sultan", dinyanyikan beramai-ramai. Diikuti dengan bacaan Surah Al-Kahfi ayat 1 hingga 10 oleh Yang Mulia Dr. Muhd. Rieo Syafi'i bin Salor, peserta Skim Bimbingan Lanjutan II dari Daerah Tutong. Manakala, intisari serta pengajaran daripada ayat-ayat tersebut dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Nurul Ayuni binti Ahmad Bukhari, peserta Skim Bimbingan Lanjutan II dari Daerah Temburong.
Diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd. Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, diikuti dengan ucapan Tetamu Kehormat Majlis. Kemudiannya menyaksikan tayangan video pendek bertajuk Memori Pelaksanaan Skim Bimbingan Muallaf.
Atur cara seterusnya ialah pengumuman Hadiah Peserta Terbaik Keseluruhan Skim Bimbingan Muallaf oleh Yang Mulia Pengiran Hajah Ida Fariani binti Pengiran Haji Kamaluddin, Ketua Bahagian Pembangunan Muallaf, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Diikuti dengan penyampaian sijil kepada para peserta konvokesyen serta penyampaian hadiah kepada peserta-peserta terbaik bagi Skim Bimbingan Asas Muallaf (Bahasa Melayu), Skim Bimbingan Asas Muallaf (Bahasa Inggeris), Skim Bimbingan Lanjutan I dan Skim Bimbingan Lanjutan II yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis.
Majlis turut diserikan dengan persembahan lagu Insan Rabbani oleh gabungan tenaga pengajar dari keempat-empat daerah.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Yang Mulia Awang Habib Azhari bin Raya, peserta Skim Bimbingan Lanjutan II dari Daerah Brunei dan Muara.
Dengan adanya majlis seumpama ini, adalah diharapkan agar dapat menyuntik semangat dan motivasi kepada para peserta untuk terus istiqamah dalam menuntut ilmu agama. Selain itu, ianya juga diharapkan dapat memperkukuhkan keyakinan diri para peserta untuk terus mempelajari, menghayati dan mengamalkan ajaran Islam, di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama uallaf dari keempat-empat daerah.