Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA  PERINGKAT SEPARUH AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1448H/2027M  (HARI KEDUA)

17 November 2026

MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT SEPARUH AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1448H/2027M (HARI KEDUA)

​

Berakas, Selasa, 07 Jamadilakhir 1448 bersamaan 17 November 2026-Seramai 27 orang peserta, terdiri daripada 20 orang qari dan tujuh (7) orang qariah, memperdengarkan bacaan masing-masing pada sesi pagi dan petang hari ini, Selasa, sempena Hari Kedua Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1448H/2027M bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Hadir selaku Tetamu Khas bagi sesi pagi ialah Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Lumapas.

Majlis pada pagi tadi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Hazwan Hamizan bin Haji Haminuddin, salah seorang peserta musabaqah.

Seramai 15 orang peserta, terdiri daripada dua belas (12) orang qari dan tiga (3) orang qariah, telah memperdengarkan bacaan masing-masing pada sesi pagi.

Manakala pada sesi petang, seramai 12 orang peserta, lapan (8) orang qari dan empat (4) orang qariah turut memperdengarkan bacaan masing-masing.

Hadir selaku Tetamu Khas bagi sesi petang ialah Yang Berhormat Awang Mohamad Ali bin Tanjong, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Lumapas 'B'.

Majlis pada petang tadi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Abdul Wafiy bin Haji Kadiroshman, juga salah seorang peserta musabaqah.

Musabaqah ini turut disiarkan secara langsung menerusi akaun Instagram rasmi Kementerian Hal Ehwal Ugama, @kheu.brunei.

Penganjuran musabaqah ini bertujuan untuk memartabatkan syiar Islam melalui pembacaan dan penghayatan Al-Qur'an, di samping melahirkan qari dan qariah negara yang berkualiti, berilmu serta berakhlak mulia. Selain itu, musabaqah ini juga menjadi platform untuk mencungkil dan mengasah bakat serta meningkatkan mutu pembacaan Al-Qur'an dalam kalangan masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam.

Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1448H/2027M anjuran Bahagian Kemajuan Syiar Islam dan Jabatan Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama, diadakan selama tiga (3) hari berturut-turut, bermula pada hari Isnin hingga Rabu, 06 hingga 08 Jamadilakhir 1448H, bersamaan 16 hingga 18 November 2026,  

Musabaqah akan diteruskan pada esok hari di tempat yang sama.​