Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

FORUM PENGUKUHAN AQIDAH BAGI AHLI JAWATANKUASA TAKMIR MASJID, JEMAAH, MUSLIMAH MASJID SERTA PEGAWAI KERAJAAN DAN SWASTA DAERAH BRUNEI DAN MUARA TAHUN 1448H / 2026M

16 November 2026

FORUM PENGUKUHAN AQIDAH BAGI AHLI JAWATANKUASA TAKMIR MASJID, JEMAAH, MUSLIMAH MASJID SERTA PEGAWAI KERAJAAN DAN SWASTA DAERAH BRUNEI DAN MUARA TAHUN 1448H / 2026M

​

Salambigar, Isnin, 06 Jamadilakhir 1448 bersamaan 16 November 2026–Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Salambigar dengan kerjasama Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, mengendalikan Forum Pengukuhan Aqidah bagi Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, jemaah, Muslimah Masjid serta pegawai-pegawai kerajaan dan swasta bagi Daerah Brunei dan Muara. Acara diadakan di Masjid Kampung Salambigar.

Forum ini bertujuan untuk memperkukuhkan kefahaman para peserta mengenai Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara kesucian aqidah dalam menghadapi pelbagai cabaran dunia moden, khususnya pengaruh media sosial dan penyebaran maklumat agama yang tidak tepat.

Forum berkenaan menampilkan tiga orang ahli panel, iaitu Yang Mulia Awang Mohammad Nasyith bin Superi, Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah; Yang Mulia Dr. Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abd Mulok, Pengarah Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; dan Yang Mulia Pengiran Hajah Norhayati binti Pengiran Haji Kashran, Pemangku Pegawai Ugama Kanan, Pusat Da'wah Islamiah. Forum tersebut dikendalikan oleh Yang Mulia Awangku Muhammad Ridhauddin bin Pengiran Mohd Amin selaku moderator.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk kepentingan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, cabaran media sosial terhadap kefahaman agama, fahaman liberalisme, pluralisme dan ekstremisme serta usaha menangani kekeliruan aqidah dalam masyarakat masa kini.

Program ini juga akan menyediakan sesi dialog interaktif dan soal jawab bagi memberi peluang kepada para peserta berinteraksi secara langsung dengan ahli panel serta mendapatkan penjelasan mengenai isu-isu aqidah semasa.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis dan menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada Ahli Panel Forum ialah Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Melalui penganjuran forum ini, diharapkan para peserta akan memperoleh kefahaman yang lebih mendalam mengenai prinsip-prinsip aqidah serta berupaya menghadapi cabaran pemikiran semasa dengan berlandaskan ajaran Islam yang sahih. Di samping itu, program ini dihasratkan dapat memperkasa peranan Ahli Jawatankuasa Takmir dan Muslimah Masjid sebagai pemimpin, pendidik serta agen dakwah dalam masyarakat.​