Bandar Seri Begawan, Isnin, 06 Jamadilakhir 1448 bersamaan 16 November 2026-Bagi memberikan pengiktirafan dan penghargaan atas kecemerlangan, khidmat bakti serta sumbangan pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama, di samping meningkatkan motivasi dan semangat warga kementerian untuk terus mengamalkan budaya kerja yang cemerlang, berintegriti dan berprestasi tinggi, serta menghargai jasa dan sumbangan pegawai dan kakitangan yang telah bersara, Kementerian Hal Ehwal Ugama pada petang tadi mengadakan Hari Apresiasi Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi Meraikan Pencapaian-Pencapaian Sepanjang Tahun 2026 bertempat di Serambi Suluh, Tarindak D'Seni, Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah. Diikuti dengan ucapan alu-aluan dan penghargaan oleh Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang antara lain menyatakan bahawa Majlis ini merupakan wadah bagi kementerian untuk mengiktiraf dan menghargai pencapaian, kecemerlangan dan sumbangan warga kementerian dalam pelbagai bidang. Sesungguhnya, setiap kejayaan yang diraikan merupakan hasil usaha, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak, di samping mencerminkan kesungguhan dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipikul.
Seterusnya, penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata kepada para penerima yang diraikan yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis.
Pada tahun ini, sebanyak 170 sijil penghargaan dan cenderamata telah disampaikan kepada para penerima yang terdiri daripada Satu (1) Sijil Penghargaan bagi Program Penggredan: Prestasi Sektor Awam (3PSA) Melalui Penarafan Bintang Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-33 Tahun 2026 kepada Jabatan Pengajian Islam; 10 orang menerima Sijil Penghargaan bagi Anugerah Inovasi Perdana (AIP) Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-33 Tahun 2026; 4 orang menerima Sijil Penghargaan bagi Anugerah Pekerja: Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-33 Tahun 2026; 16 orang menerima Sijil Penghargaan bagi Pekerja Cemerlang Peringkat Jabatan Tahun 2026; 2 orang menerima Sijil Penghargaan bagi Anugerah Guru Cemerlang Sempena Sambutan Hari Guru Ke-36 Tahun 2026; 6 orang menerima Sijil Penghargaan bagi Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention) Sempena Sambutan Hari Guru Ke-36 Tahun 2026; Seorang (1) menerima Sijil Penghargaan bagi Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-66 Tahun 1448H/2026M; 130 orang Sijil Penghargaan Perkhidmatan dan Cenderamata kepada Pegawai Dan Kakitangan Yang Bersara Atau Menamatkan Perkhidmatan Pada Tahun 2025.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Awang Mohammad Farhan @ Awang Mohammad Ali bin Alim, Imam Tingkat I, Masjid Lambak Berakas, Jabatan Hal Ehwal Masjid.
Penganjuran Hari Apresiasi Kementerian Hal Ehwal Ugama 2026 menzahirkan penghargaan terhadap komitmen, dedikasi dan sumbangan warga kementerian dalam mencapai pelbagai kejayaan sepanjang tahun 2026. Majlis ini menjadi wadah untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang, memupuk budaya kerja berkualiti serta memperkukuh semangat kerjasama dalam menyokong usaha berterusan kementerian ke arah mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan ugama di negara ini.
Majlis ini dikendalikan bersama oleh Bahagian Dasar dan Strategik serta Jabatan Pentadbiran, dengan kerjasama Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Bahagian Teknologi Maklumat, serta Unit Kesihatan, Keselamatan, Kawalan Keselamatan dan Alam Sekitar, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Foto: JPI