Berakas, Isnin, 06 Jamadilakhir 1448 bersamaan 16 November 2026-Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1448H/2027M diadakan selama tiga (3) hari berturut-turut iaitu pada hari Isnin, Selasa dan Rabu, 06, 07 dan 08 Jamadilakhir 1448 bersamaan 16, 17 dan 18 November 2026 bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Pada hari pertama ini, seramai 26 orang peserta terdiri daripada 20 orang Qari dan 6 Qariah memperdengarkan bacaan masing-masing (Pagi dan Petang).
Tetamu Khas pada sebelah pagi ialah Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin, Ahli Majlis Mesyuarat Negara. Manakala sebelah petang, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Subok, Daerah Brunei dan Muara.
Seramai 50 orang peserta (iaitu 38 Qari dan 12 Qariah) yang terpilih telah melalui Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Saringan Kebangsaan Tahun 1447H/2026M anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, dan 9 orang (iaitu 4 Qari dan 5 Qariah) sebagai peserta menunggu dari Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H/2026M.
Manakala 19 orang Qari daripadanya adalah peserta Musabaqah yang mendapat markah 80% ke atas bagi 3 tahun berturut-turut di peringkat Separuh Akhir Kebangsaan; Johan Qari Musabaqah Tilawatil Qur'an Belia Kebangsaan Peringkat Akhir Tahun 1447H/2026M.
Seterusnya, Majlis Pengumuman Keputusan dan Penyampaian Hadiah dan Cenderamata kepada Para Peserta dan Hakim Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1448H/2027M akan diadakan pada hari Khamis, 09 Jamadilakhir 1448 bersamaan 19 November 2026, pukul 1.45 petang di tempat yang sama.
Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan ini dapat diikuti langsung melalui akaun Instagram rasmi Kementerian Hal Ehwal Ugama @kheu.brunei.
Penganjuran Musabaqah tersebut dihasrat dapat memajukan dan mengembangkan lagi bidang Al-Qur'an serta dapat mendorong masyarakat ke arah celik Al-Qur'an di samping sebagai wadah dan zikir untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala serta memohon kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala untuk perlindungan daripada sebarang kelalaian.
Musabaqah disambung esok di tempat yang sama.