Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

KEJOHANAN TENPIN BOWLING SEMPENA SEMARAK JUBLI PLATINUM 70 TAHUN PENDIDIKAN UGAMA FORMAL TAHUN 1448H / 2026M

15 November 2026

KEJOHANAN TENPIN BOWLING SEMPENA SEMARAK JUBLI PLATINUM 70 TAHUN PENDIDIKAN UGAMA FORMAL TAHUN 1448H / 2026M

​

Bandar Seri Begawan, Ahad, 05 Jamadilakhir 1448 bersamaan 15 November 2026–Sempena Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal, pelbagai aktiviti telah diungkayahkan bagi memeriahkan sambutan bersejarah tersebut, termasuk beberapa acara kesukanan seperti futsal, badminton dan bola jaring. Pengisian seumpama ini bukan sahaja memberikan peluang kepada para peserta untuk bergiat aktif dalam bidang sukan, malah turut menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan kecergasan fizikal.

Sehubungan itu, bagi meneruskan pengisian aktiviti kesukanan berkenaan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, telah menganjurkan Kejohanan Tenpin Bowling yang melibatkan penyertaan jabatan-jabatan dan institusi-institusi pengajian tinggi di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan. Kejohanan tersebut antara lain bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kesukanan serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan peserta.

Pertandingan bagi Kategori Individu VIP Lelaki dan Perempuan diadakan pada pagi tadi di iBowl Utama Bowling, Batu Satu. Pertandingan tersebut merupakan sebahagian daripada kejohanan yang telah bermula pada 16 Oktober 2026, dengan penyertaan sebanyak 88 pasukan yang terdiri daripada 46 pasukan lelaki dan 42 pasukan perempuan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang turut menyertai pertandingan bagi Kategori Individu VIP dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Penganjuran kejohanan ini turut mencerminkan semangat kebersamaan dan kerjasama antara warga kedua-dua kementerian dalam menjayakan pengisian Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal, selaras dengan temanya, iaitu Ukhwah Kukuh, Pendidikan Teguh. ​