Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 04 Jamadilakhir 1448 bersamaan 14 November 2026–Doa menaiki kenderaan sebagaimana yang terkandung dalam Surah Az-Zukhruf, Ayat 13–14 bukan sekadar bacaan ketika memulakan perjalanan, bahkan mengandungi pengajaran mendalam tentang keagungan Allah yang mengurniakan kenderaan sebagai nikmat besar untuk manusia. Melalui doa ini, umat Islam dididik untuk bersyukur pada Allah. Pada masa yang sama, doa ini juga mengingatkan manusia bahawa setiap perjalanan kehidupan akhirnya akan kembali kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Justeru, penghayatan doa menaiki kenderaan dapat membentuk jiwa yang sentiasa bersyukur, bertawakal dan mengingati Allah dalam setiap perjalanan kehidupan.
Demikian antara perkara yang disebutkan di dalam Tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak, Penolong Pensyarah, Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dari Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bagi menyerikan Munajat Khas anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-255 dengan Kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Kelolaan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) Sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalulintas Jalan Raya Sedunia 2026.
Munajat Khas pada petang tadi disertai oleh Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, warga kerja di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama serta Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; dan juga Ahli-Ahli Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya. Turut menyertai, murid-murid dan tenaga pengajar dari sekolah-sekolah di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan.
Program Munajat Khas pada petang tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Ahli Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya bagi mewakili Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Pemangku Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Tetamu Kehormat bersiaran dari Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Tahlil beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Noor Aimee bin Haji Metamit, Bendahari Agong Persatuan Motorsikal Darussalam (PEMODA) dari Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Seterusnya, Doa Munajat Khas dibacakan oleh Yang Mulia Pengiran Mohd Saifulzamri bin Pengiran Haji Sabtu, Guru Ugama Terlatih Tingkat Khas, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang juga Ahli Persatuan Brunei Darussalam Cycling Federation (BDCF) dari Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. Diikuti dengan bacaan Doa Memohon Dikurniakan Hujan Sebab Dilanda Jerebu oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd Amirul Rashid bin Haji Wahab, Guru Sekolah Ugama Kampung Mata-Mata, Gadong, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Sekolah Ugama Kampung Mata-Mata, Gadong.
Selesai Tazkirah, diikuti dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Aziz bin Awang Haji Damit, Guru Sekolah Ugama Beribi, Gadong, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Surau Sekolah Ugama Beribi, Gadong.
Program Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan kemalangan jalan raya. Program kali ini juga diadakan bagi memperingati mangsa-mangsa lalu lintas jalan raya, sama ada yang terkorban mahupun yang mengalami kecederaan akibat kemalangan, serta menzahirkan rasa simpati, keprihatinan dan sokongan kepada keluarga yang terkesan.
Di samping itu, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya keselamatan jalan raya, memupuk sikap bertanggungjawab, berhemah dan beretika dalam kalangan pengguna jalan raya, serta mengingatkan semua pihak mengenai kesan dan impak kemalangan terhadap individu, keluarga dan masyarakat. Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala, di samping mengurniakan rahmat kepada mangsa-mangsa yang telah kembali ke rahmatullah, menguatkan hati keluarga yang ditinggalkan, dan memelihara Negara Brunei Darussalam daripada kejadian kemalangan jalan raya serta sebarang musibah yang tidak diingini.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.