Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN PELAJAR SANAH 6 SEKOLAH ARAB BELAIT TAHUN 1448H / 2026M

14 November 2026

MAJLIS KHATAM AL-QURAN PELAJAR SANAH 6 SEKOLAH ARAB BELAIT TAHUN 1448H / 2026M

​

Mumong, Sabtu, 04 Jamadilakhir 1448 bersamaan 14 November 2026–Majlis-majlis Khatam Al-Quran yang dianjurkan di sekolah-sekolah Arab di negara ini merupakan antara usaha berterusan dalam menyokong hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran serta membudayakan pembacaan Al-Quran sebagai amalan dalam kehidupan berugama. Penganjuran majlis seumpama ini juga mencerminkan komitmen Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memartabatkan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan dengan itu, Sekolah Arab Belait mengadakan Majlis Khatam Al-Quran pada pagi tadi bagi meraikan seramai 28 orang pelajar Sanah 6 yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran. Daripada jumlah tersebut, 14 orang merupakan pelajar lelaki dan 14 orang lagi pelajar perempuan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, yang turut memulakan majlis dengan memimpin bacaan Surah Al-Fatihah secara beramai-ramai.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta Khatam, diikuti bacaan Takhtim dan Doa Khatam yang dibacakan oleh Awangku Muhammad Haziq bin Pengiran Sahbillah. Acara turut diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban sebelum diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para peserta oleh Tetamu Kehormat Majlis. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Ahmad Za'aim bin Haji Bagol, Tenaga Pengajar. ​