Berakas, Sabtu, 04 Jamadilakhir 1448 bersamaan 14 November 2026–Dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai kepentingan menjaga kesihatan serta mengekalkan kecergasan tubuh badan melalui amalan pemakanan seimbang dan aktiviti fizikal yang bersesuaian mengikut peringkat usia, Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan telah mengadakan Program Amalan Hidup Sihat yang diadakan di Pusat Promosi Kesihatan pada pagi tadi.
Program tersebut melibatkan penyertaan seramai 30 hingga 50 orang muslimah dari Zon 2, Daerah Brunei dan Muara.
Antara pengisian program ialah sesi penerangan mengenai panduan pemakanan sihat, termasuk pemilihan jenis makanan dan saiz hidangan yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan nutrisi tubuh, khususnya dalam kalangan warga emas. Selain itu, para peserta turut diberikan panduan serta tunjuk cara melakukan senaman yang bersesuaian mengikut peringkat usia bagi membantu mengekalkan kecergasan, meningkatkan keupayaan pergerakan serta mengurangkan ketidakselesaan pada anggota badan.
Program berkenaan turut diselajurkan dengan lawatan ke galeri Pusat Promosi Kesihatan bagi memberikan pendedahan serta menambah pengetahuan para peserta mengenai pelbagai aspek penjagaan kesihatan.
Penganjuran program seumpama ini merupakan kesinambungan daripada program yang telah dilaksanakan pada tahun 2025 dan menerima sambutan yang menggalakkan serta maklum balas positif daripada para peserta.
Melalui pelaksanaan program ini, para peserta diharap akan lebih peka terhadap kepentingan menjaga kesihatan dan seterusnya mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian. Kesihatan tubuh badan yang baik bukan sahaja penting bagi menjamin kesejahteraan diri, malah turut membantu memberikan keselesaan dan memudahkan para muslimah untuk terus melaksanakan ibadah dengan lebih khusyuk dan sempurna.