Bandar Seri Begawan, Rabu, 01 Jamadilakhir 1448 bersamaan 11 November 2026–Dalam usaha meningkatkan kemahiran serta memperkukuh budaya bertutur Bahasa Arab dalam kalangan pelajar, di samping menerapkan nilai-nilai murni serta semangat keprihatinan sosial, Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah mengadakan Program Hayya Ilal 'Arabiyyah 2026 pada pagi tadi bertemakan Fastabiqul Khairat berkonsepkan Tabung Amal, bertempat di Dewan Al-Barakah, sekolah berkenaan.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Azizah binti Haji Mohamad, Pengetua Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah.
Antara pengisian program ialah persembahan bacaan Al-Quran berserta tadabbur, perasmian program Hayya Ilal 'Arabiyyah, persembahan lagu Hayya Ilal 'Arabiyyah, serta lawatan ke petak jualan amal dan ruang ilmu dan inovasi.
Hasil kutipan Tabung Amal dan aktiviti jualan sepanjang program berkenaan akan disalurkan kepada pelajar sekolah yang memerlukan bantuan serta tujuan kebajikan.
Program Hayya Ilal 'Arabiyah (Mari Berbahasa Arab) ini merupakan salah satu inisiatif Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui sekolah-sekolah Arab bagi memperkukuh penguasaan pelajar dalam Bahasa Arab.
Program ini menyediakan platform praktikal bagi membolehkan pelajar mengaplikasikan kemahiran berbahasa Arab dalam pelbagai aktiviti kokurikulum yang menarik dan interaktif, di samping memperluas penguasaan kosa kata dan ungkapan yang berkaitan. Pelaksanaan program ini juga diharap dapat meningkatkan keyakinan pelajar untuk bertutur serta menggunakan Bahasa Arab dengan lebih fasih dan berkesan.