Arab Saudi, Selasa, 30 Jamadilawal 1448 bersamaan 10 November 2026-Perjanjian Pengurusan Haji bagi Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam Tahun 1448H/2027M telah dimeterai pada hari Isnin, 29 Jamadilawal 1448 bersamaan 09 November 2026 di Arab Saudi.
Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam selaku wakil Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Tuan Yang Terutama Dr. Tawfiq bin Fawzan Al-Rabiah, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi di Superdome, Jeddah, Arab Saudi.
Sebelum majlis penandatangan tersebut dimulakan, satu perjumpaan dua hala telah diadakan bagi membincangkan hal ehwal pengurusan jemaah haji Negara Brunei Darussalam bagi musim haji tahun 1448H / 2027M nanti.
Turut hadir pada majlis tersebut, Yang Mulia Awang Muhammad 'Azim bin Abdul Hadi, Kuasausaha Sementara, Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Arab Saudi, Pemangku Konsul Agung Negara Brunei Darussalam di Jeddah dan rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Perjanjian Pengurusan Haji bagi Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam Tahun 1448H/2027M yang ditandatangani tersebut adalah merupakan kesinambungan hasil Mesyuarat Pengurusan Hal Ehwal Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji Tahun 1448H / 2027M yang telah diadakan secara dalam talian sebelumnya, yang memfokuskan keteraturan pengurusan jemaah haji mengikut peraturan dan tempoh masa yang telah ditetapkan bagi memastikan jemaah haji dapat melaksanakan manasik haji dalam keadaan selamat dan teratur.
Terdahulu, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama telah menghadiri Majlis Makan Malam pada 27 Jamadilawal 1448 bersamaan 07 November 2026. Seterusnya menghadiri Perjumpaan Ketua-Ketua Delegasi bersama Tuan Yang Terutama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Perjumpaan Ketua-Ketua Delegasi bersama Duli Yang Teramat Mulia Putera Saud bin Mishaal bin Abdulaziz (Timbalan Gabenor Makkah) dan Majlis Perasmian 6th Edition of the Hajj Conference and Exhibition di Arab Saudi pada 28 Jamadilawal 1448 bersamaan 08 November 2026.

Majlis Penandatanganan Perjanjian Pengurusan Haji Bagi Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam Tahun 1448H / 2027M
Perjumpaan Ketua-Ketua Delegasi bersama Duli Yang Teramat Mulia Putera Saud bin Mishaal bin Abdulaziz (Timbalan Gabenor Makkah)
Foto: JUH