Bandar Seri Begawan, Isnin, 29 Jamadilawal 1448 bersamaan 09 November 2026–Hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dengan Kesultanan Oman dalam bidang pendidikan dan kebudayaan terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif kerjasama, antaranya lawatan rasmi, kursus pemantapan komunikasi Bahasa Arab bagi tenaga pengajar dan pelajar, bengkel latihan pengajaran Bahasa Arab dan Pendidikan Islam, program pertukaran budaya dalam kalangan pelajar serta sumbangan buku teks Bahasa Arab.
Sejajar dengan usaha tersebut, kerjasama dalam bidang pendidikan terus diperkukuh menerusi satu sesi perbincangan secara maya antara Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama Jabatan Pembangunan Kurikulum Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan, Kesultanan Oman diadakan pada petang tadi, bagi membincangkan dasar, falsafah dan pendekatan yang diterapkan dalam pembangunan kurikulum Pendidikan Islam, di samping berkongsi amalan terbaik serta pengalaman dalam bidang pendidikan di kedua-dua negara.
Sesi perbincangan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, diikuti ucapan daripada Yang Mulia Dr. Hamad bin Salem Al-Rajhi, Pengarah Jabatan Pembangunan Kurikulum Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan, Kesultanan Oman.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan dan pegawai daripada Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama serta Jabatan Pembangunan Kurikulum Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan, Kesultanan Oman.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuklah penerapan falsafah Melayu Islam Beraja dalam pembinaan dan perkembangan kurikulum di Negara Brunei Darussalam, falsafah Pendidikan Islam yang diguna pakai, standard dan proses pembangunan kurikulum yang dilaksanakan, serta pengalaman pelaksanaan sistem persekolahan integrasi yang menggabungkan pendidikan akademik dan agama.
Sesi perbincangan turut menyediakan ruang bagi kedua-dua pihak untuk bertukar-tukar pandangan dan mengemukakan pertanyaan berkaitan perkara yang dibincangkan.
Perbincangan tersebut diharap dapat memperkukuh hubungan kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dengan Kesultanan Oman, di samping membuka peluang kepada penerokaan inisiatif dan kerjasama strategik yang lebih luas dalam bidang pendidikan Islam pada masa akan datang.










Foto: JPI