Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-254

07 November 2026

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-254

​

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 28 Jamadilawal 1448 bersamaan 07 November 2026–Dalam Islam, pekerjaan bukan sekadar mencari rezeki, bahkan merupakan satu amanah dan ibadah apabila dilaksanakan dengan niat yang ikhlas serta cara yang diredhai Allah. Kecemerlangan dalam pekerjaan bukan hanya diukur melalui pangkat dan kedudukan, tetapi juga melalui dua perkara penting, iaitu ilmu dan amanah. Ilmu membimbing kita membezakan perkara yang benar dan salah serta membantu melaksanakan tugas dengan cekap dan sempurna. Jika ilmu membimbing kita mengetahui cara melaksanakan pekerjaan, amanah pula memastikan tugas tersebut dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Amanah juga bererti melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh, menepati masa, tidak menyalahgunakan kuasa dan tidak bekerja secara sambil lewa. Ilmu dan amanah perlu berjalan seiring. Ilmu tanpa amanah boleh membawa kepada penyalahgunaan kepakaran, manakala amanah tanpa ilmu boleh menyebabkan tugas tidak dilaksanakan dengan sempurna. Oleh itu, laksanakanlah setiap tugas dengan penuh kesungguhan. Jadikanlah pekerjaan kita sebagai peluang mengumpul pahala dan memberikan manfaat kepada orang lain. Sesungguhnya kecemerlangan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada sistem dan kemudahan, tetapi juga kepada ilmu, akhlak dan amanah setiap individu di dalamnya.

Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk Ilmu Dan Amanah: Kunci Kecemerlangan Dalam Pekerjaan yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Fakhri bin Haji Ibrahim, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lorong 3 Selatan, Seria, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-254 pada malam tadi.  

Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah ahli-ahli jawatankuasa takmir, belia dan jemaah dari Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara. Turut menyertai, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Muhammad Ammar Muazzam bin Haji Matusof, Pemangku Ketua Kampung Pekan Kuala Belait A, Daerah Belait yang juga bersiaran dari Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait.

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Amerul Shah bin Awang Haji Besar, Nazir Khas, Pejabat Pengajian Islam Daerah Belait, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Noor Azhar bin Haji Harith, Imam Tingkat III, Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Memohon Dikurniakan Hujan Sebab Dilanda Jerebu oleh Yang Mulia Awang Afiq Haririe bin Haji Mat Daud, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sejurus selesai Tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Aidil Al-Rafique bin Hamzani, Belia Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohd Ali Omar bin Haji Yusof, Ketua Guru Ugama, Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit. Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.