Bandar Seri Begawan, Sabtu, 27 Jamadilawal 1448 bersamaan 07 November 2026–Bagi memohon keberkatan dan kemudahan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam menghadapi Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU), Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei II mengadakan Majlis Mohon Restu Bagi Murid-Murid Darjah VI yang merangkumi Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yasin, Doa Peperiksaan dan Ceramah Motivasi.
Seramai 1,420 orang murid Darjah VI, termasuk murid berkeperluan khas dari sekolah-sekolah ugama kawasan Brunei II bersama ibu bapa dan penjaga telah menghadiri majlis yang diadakan di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat secara berjemaah, diikuti bacaan Surah Yasin dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohd Faris Zayani bin Muhd Firdausil Amin, Guru Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah. Seterusnya Doa Peperiksaan dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Khairuddin bin Haji Meraji, Guru Sekolah Ugama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis diteruskan dengan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Fariszal bin Ali, Penolong Kaunselor, Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, sebelum diakhiri dengan sesi memohon restu melalui bersalaman bersama ibu bapa, penjaga dan guru-guru.
Penganjuran majlis ini merupakan salah satu usaha berterusan dalam memberikan persediaan rohani dan motivasi kepada murid-murid sebelum menghadapi Peperiksaan Bertulis Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) yang dijadualkan berlangsung pada 09 hingga 23 November 2026, di samping memohon agar mereka diberikan kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan tersebut.
Foto: JPI