Jakarta, Rabu, 24 Jamadilawal 1448 bersamaan 04 November 2026–Negara Brunei Darussalam telah menyertai Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) Ke-50 Bagi MABIMS Tahun 1448H/2026M yang berlangsung selama empat (4) hari, iaitu pada 21 hingga 24 Jamadilawal 1448 bersamaan 01 hingga 04 November 2026 di Jakarta, Republik Indonesia, dan berakhir pada petang tadi.
Republik Indonesia melalui Kementerian Agama Republik Indonesia selaku tuan rumah mengetengahkan tema Khoiru Ummah: Berbagi Praktik Baik Membangun Masyarakat Islam Berkeadaban.
Delegasi Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Ketua SOM Negara Brunei Darussalam, disertai oleh Pegawai-Pegawai Sekretariat MABIMS Negara Brunei Darussalam.
Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) Ke-50 bersidang selama dua (2) hari, iaitu pada 02 dan 03 November 2026 bertempat di Hotel Sari Pacific, Jakarta, dipengerusikan oleh Yang Terhormat Bapak Prof. Dr. Phil. H. Kamaruddin Amin, Sekretaris Jenderal, Kementerian Agama Republik Indonesia. Turut hadir di mesyuarat tersebut ialah Yang Berusaha Tuan Muhyidin bin Aziz @ Saari, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku Ketua Delegasi Negara Malaysia; dan Yang Berhormat Tuan Kadir Maideen bin Mohamed, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) selaku Ketua SOM Republik Singapura, berserta delegasi masing-masing.
Mesyuarat SOM Ke-50 memberikan tumpuan kepada kemajuan pelaksanaan Rancangan Strategik MABIMS 2026–2030 serta usaha memperkukuh kerjasama serantau dalam hal ehwal Islam. Negara Brunei Darussalam selaku Negara Penyelaras Fokus Strategik Potensi Belia turut mengetengahkan usaha pemerkasaan belia Islam melalui program dan inisiatif bersama negara anggota.
Turut diadakan ialah pelancaran Buku Takwim Fokus Strategik MABIMS 2026–2030 oleh Ketua-Ketua SOM negara anggota MABIMS. Buku tersebut menjadi rujukan bersama bagi memperkukuh penyelarasan dan pelaksanaan program sepanjang tempoh rancangan strategik tersebut.
Selain mesyuarat berkenaan, Seminar Kertas Tema SOM Kali Ke-50 telah diadakan pada pagi Isnin, 02 November 2026 dengan kerjasama Universitas Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah Jakarta. Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Yang Mulia Dr. Hajah Siti Juriah @ Hajah Raneya Fatehah binti Haji Japar, Timbalan Dekan, Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).
Delegasi negara-negara anggota MABIMS turut diraikan dalam Majlis Jamuan Makan Malam yang dihoskan oleh Yang Terhormat Prof. Dr. K.H. Nasaruddin Umar, Menteri Agama Republik Indonesia, pada Ahad malam, 01 November 2026. Dalam ucapan alu-aluannya di majlis tersebut, beliau mengajak keempat-empat negara anggota MABIMS untuk bersama-sama merumuskan kriteria yang konkrit bagi mewujudkan khairu ummah di rantau ini, serta mencadangkan penubuhan sebuah pusat kolaborasi bagi memperkukuh masa depan umat Islam. Beliau juga menekankan kepentingan komunikasi yang intensif dan kesinambungan kerjasama MABIMS yang tidak hanya terhad kepada pertemuan sekali setahun.
Penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam Mesyuarat SOM Ke-50 yang berakhir hari ini mencerminkan komitmen berterusan untuk memperkukuh kerjasama serantau serta menghasilkan inisiatif yang memberi impak positif kepada masyarakat Islam di rantau MABIMS.


