Bandar Seri Begawan, Rabu, 24 Jamadilawal 1448 bersamaan 04 November 2026–Bagi meningkatkan profesionalisme para hakim serta memastikan keseragaman dari segi sukatan, kaedah dan pelaksanaan penghakiman di semua peringkat musabaqah, di samping mempertingkatkan mutu dan standard penghakiman dalam Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan, Bahagian Kemajuan Syi'ar Islam dengan kerjasama Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengendalikan Multaqa Hakim Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H / 2026M.
Multaqa yang dikendalikan selama dua hari, iaitu pada hari Isnin dan Selasa, 22 dan 23 Jamadilawal 1448 bersamaan 02 dan 03 November 2026, bertempat di Room 4, Multipurpose Room, An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, disertai oleh seramai 27 orang peserta yang terdiri daripada para hakim Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Saringan, Separuh Akhir dan Akhir Kebangsaan.
Sehubungan dengan itu, Majlis Penutup Multaqa Hakim berkenaan telah diadakan pada pagi tadi di tempat yang sama, yang diserikan dengan penyampaian sijil dan penghargaan kepada Hakim Jemputan serta para hakim yang terlibat.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Turut hadir ialah Pengarah-Pengarah dan Pegawai-Pegawai Kanan, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan persembahan Zainul Qur'an oleh tiga (3) orang Qari Negara Brunei Darussalam dari tiga (3) generasi iaitu Yang Mulia Dato Paduka Haji Mohd Yusop bin Bakar, Qari di era 1970-1980an; Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat, Qari di era 1990an dan Yang Mulia Awang Haji Mohammad Zul-Hafiz bin Awang Tengah, Qari generasi masa kini.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, selaku Pengerusi Bersama Multaqa Hakim Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H / 2026M. Diikuti dengan ucapan daripada Tetamu Kehormat Majlis, Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan disusuli dengan ucapan balas daripada Hakim Jemputan, Yang Mulia Ustaz Haji Abdul Karim bin Zakaria, Setiausaha Jemaah Hakim Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Qur'an Peringkat Antarabangsa (MTHQA), Kuala Lumpur, Malaysia.
Acara diteruskan dengan penyampaian sijil dan penghargaan kepada Hakim Jemputan serta para hakim yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis sebagai tanda penghargaan atas sumbangan, komitmen dan penglibatan mereka dalam menjayakan multaqa berkenaan. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Zulkifli bin Haji Murat, Penguasa Masjid Omar 'Ali Saifuddien.
Multaqa Hakim ini antara lain bertujuan untuk menjadi wadah pertemuan dan percambahan fikiran dalam kalangan individu yang sering dilantik sebagai hakim bagi pertandingan membaca Al-Qur'an di peringkat kebangsaan, antarabangsa atau yang setaraf dengannya.
Selain itu, multaqa ini juga bertujuan untuk mendapatkan pandangan serta input bagi mengemas kini garis panduan dan mekanisme pelaksanaan Musabaqah Membaca Al-Qur'an; menyelaras skim pemarkahan dari peringkat saringan hingga ke peringkat akhir bagi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa; memberi peluang kepada para hakim berpengalaman untuk berkongsi pandangan serta pengalaman; dan menetapkan garis panduan bagi pemilihan hakim Musabaqah Membaca Al-Qur'an.
Kementerian Hal Ehwal Ugama sentiasa mengalu-alukan dan menyokong usaha seumpama ini, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan, berkemahiran tinggi dan berdaya saing. Usaha ini juga bertepatan dengan agenda utama Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam menyebarluaskan syiar Islam serta memperkukuh penghayatan ajaran agama Islam yang membawa keberkatan dan kesejahteraan kepada seluruh masyarakat.
Sepanjang multaqa tersebut, dua (2) pembentangan telah disampaikan. Pembentangan pertama yang bertajuk 'Penyelarasan Penghakiman Musabaqah Tilawah dan Hafazan Al-Qur'an' dibentangkan oleh Yang Mulia Ustaz Haji Abdul Karim bin Zakaria, Setiausaha Jemaah Hakim Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Qur'an Peringkat Antarabangsa (MTHQA), Kuala Lumpur, Malaysia, yang turut bertindak sebagai Hakim Jemputan. Yang Mulia Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama, selaku moderator. Manakala pembentangan kedua, 'Implementasi Penghakiman Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Qur'an Peringkat Antarabangsa' dibentangkan oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh. Sesi pembentangan tersebut dikendalikan oleh Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit sebagai moderator.
Penganjuran multaqa ini dihasratkan akan dapat memperkukuh kefahaman dan kesepakatan dalam kalangan para hakim, khususnya dalam aspek penilaian, pemarkahan serta pelaksanaan penghakiman yang lebih teratur dan seragam. Usaha ini juga diharap akan terus menyumbang kepada peningkatan mutu dan kecemerlangan Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan pada masa akan datang.














Foto: BPAAM