Jerudong, Selasa, 23 Jamadilawal 1448 bersamaan 03 November 2026–Tulisan Jawi merupakan antara mata pelajaran penting dalam pendidikan ugama yang perlu terus diperkukuh penguasaannya dalam kalangan murid. Seiring dengan perkembangan teknologi digital masa kini, penggunaan platform pembelajaran digital diharap dapat membantu mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran, di samping menggalakkan pembelajaran yang lebih interaktif dan mudah diakses.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei III pada pagi tadi mengadakan Majlis Pelancaran Platform E-Jawi dan Penyampaian Sijil Penghargaan Tahun 2026 khusus bagi sekolah-sekolah ugama di Kawasan Brunei III yang diadakan di Dewan Sekolah Ugama Jerudong.
Hadir selaku Tetamu Khas dan seterusnya merasmikan pelancaran platform berkenaan ialah Yang Mulia Awang Muhammad Fauzi bin Haji Zaini, Pegawai Pengajian Islam Daerah bagi Kawasan Brunei III, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Beliau juga menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada guru-guru yang terlibat dalam penyediaan dan pembangunan platform berkenaan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Majlis, Yang Mulia Awang Mahdzir Wahyu Hidayat bin Murah. Acara diteruskan dengan pelancaran Platform E-Jawi oleh Tetamu Khas Majlis, diikuti tayangan video pengenalan platform berkenaan serta penyampaian sijil penghargaan kepada guru-guru yang terlibat. Majlis diakhiri dengan bacaan Surah Al-'Asr dan Zikir Al-Kafarah yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd Rudy bin Haji Shamsuddin.
Penganjuran majlis berkenaan antara lain bertujuan untuk memperkenalkan Platform E-Jawi kepada sekolah-sekolah ugama di Kawasan Brunei III, di samping memberikan pendedahan mengenai penggunaan teknologi digital sebagai medium sokongan dalam pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi. Melalui platform tersebut, guru-guru berpeluang mempelbagaikan kaedah pengajaran, manakala murid-murid pula dapat meningkatkan penguasaan tulisan Jawi melalui kaedah pembelajaran yang lebih menarik dan interaktif, sekali gus menggalakkan murid-murid belajar sendiri.
Foto: JPI