Berakas, Selasa, 23 Jamadilawal 1448 bersamaan 03 November 2026–Bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran dalam kalangan warga perkhidmatan awam mengenai kewajipan menunaikan fardhu haji sebagai Rukun Islam Kelima, di samping memberikan pendedahan mengenai pengurusan ibadah haji serta kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengadakan Program Ke Arah Warga Perkhidmatan Awam Yang 'Arif Tentang Tuntutan Rukun Islam Kelima Tahun 1448H/2026M pada pagi tadi.
Program yang diadakan di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Darul Itqan, Kementerian Hal Ehwal Ugama itu telah dihadiri oleh seramai 80 orang peserta.
Pada tahun ini, penyertaan program berkenaan disasarkan kepada pegawai dan kakitangan kerajaan daripada tiga buah kementerian, iaitu Kementerian Pertahanan; Kementerian Kewangan; dan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, khususnya mereka yang belum menunaikan fardhu haji.
Pengisian program merangkumi beberapa sesi penerangan dan pembentangan yang disampaikan oleh pegawai-pegawai Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Antara perkara yang dikongsikan termasuk pengenalan kepada Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama, ibadah haji sebagai Rukun Islam Kelima, pelaksanaan ibadah haji serta kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan kepada warga perkhidmatan awam dan orang ramai.
Antara kemudahan yang diterangkan ialah pengurniaan tambang menunaikan fardhu haji sebanyak BND4,500.00 kepada pegawai dan kakitangan kerajaan yang telah berkhidmat selama 12 tahun dan ke atas. Kemudahan tersebut telah diberikan sejak tahun 2012.
Selain itu, para peserta turut diberikan penerangan mengenai kemudahan pendaftaran haji melalui sistem Bruhaj yang membolehkan orang ramai membuat pendaftaran pada bila-bila masa, di samping penjelasan mengenai perjalanan manasik haji bagi jemaah haji Negara Brunei Darussalam.