Negara Brunei Darussalam, Hari Sabtu, 21 Jamadilawal 1448 bersamaan 31 Oktober 2026–Ilmu yang sebenar bukan sekadar memperluas pengetahuan dan meningkatkan kedudukan seseorang, bahkan seharusnya menyuburkan sifat tawaduk, keinsafan dan kesedaran terhadap kebesaran Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Semakin tinggi ilmu yang dimiliki, semakin mendalam seharusnya kerendahan hati serta kesediaan untuk menerima kebenaran dan menghargai orang lain. Antara tiga perkara utama tentang ilmu adalah pertama, ilmu sebagai jalan mengenali kebesaran Allah dan menyedari keterbatasan diri. Berpandukan Surah Al-Mujadilah ayat 11 dan Surah Al-Isra' ayat 85, dijelaskan bahawa kemuliaan ilmu perlu disertai kesedaran bahawa pengetahuan manusia tetap terbatas berbanding keluasan ilmu Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Kedua, tawaduk sebagai benteng daripada kesombongan dan keangkuhan. Berdasarkan tuntutan Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam, sifat merendah diri kerana Allah merupakan jalan menuju kemuliaan, manakala kesombongan boleh menghalang seseorang daripada menerima kebenaran serta menghormati orang lain. Yang terakhir, penghayatan ilmu melalui keindahan akhlak dan tindakan. Dengan meneladani keperibadian Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam, ditekankan bahawa ketinggian ilmu dan kedudukan tidak seharusnya menghalang seseorang daripada bersikap sederhana, menghargai sumbangan orang lain, menerima teguran serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh hikmah dan keikhlasan.
Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk 'Setinggi Ilmu, Sedalam Tawaduk' yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr Dayang Hajah Siti Juriah @ Raneya Fatehah binti Haji Japar, Timbalan Dekan, Fakulti Syariah, Graduan Program Doktor Falsafah Perguruan Ugama (Syariah), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-253 (Khas Untuk Wanita Ke-42) sempena Majlis Konvokesyen Ke-16, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan pada malam tadi yang bersiaran dari Surau Utama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Acara Munajat malam tadi disemarakkan oleh tenaga akademik dan para graduan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan yang bersiaran dari Surau Utama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan sebagai tumpuan utama. Juga menyertai, para muslimah dan jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja wanita Kementerian Hal Ehwal Ugama dan juga individu yang turut serta secara maya dari kediaman masing-masing.
Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Dr Dayang Norasimah binti Haji Omar, Penolong Ra'es II (Hal Ehwal Akademik), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Diikuti dengan bacaan Surah As-Sajdah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Norliza binti Abd Jalil, Nazir Sekolah-Sekolah Ugama, Unit Maklumat dan Perangkaan, Bahagian Kenaziran, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pelajar Program Sarjana Muda Perguruan Ugama dengan Minor Seni Al-Quran, Tahun 4, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Norfadizlina binti Haji Abd Rahman, Pemangku Guru Besar Sekolah Ugama Pantai Berakas, Kawasan Brunei II, Graduan Program Sarjana Perguruan Ugama (Pendidikan Islam), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Memohon Dikurniakan Hujan Sebab Dilanda Jerebu oleh Yang Mulia Dayang Nur Ezzati Aqilah binti Rosli, Guru Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Graduan Program Diploma Perguruan Ugama Lepas Ijazah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Sejurus selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Siti Ranaa Rayhaanah binti Mohd Reduan, Naib Yang Di-Pertua Pelajar (Siswi), Majlis Perwakilan Pelajar, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Halimatus Rabeatul Saiedah binti Huzaimi, Graduan Program Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (Pendidikan Islam), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit. Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheuwanita.
