Gadong, Sabtu, 20 Jamadilawal 1448 bersamaan 31 Oktober 2026–Seramai 59 orang pelajar Sekolah Ugama Beribi Gadong (sesi pagi), termasuk dua orang murid berkeperluan khas, menerima sijil dalam Majlis Penyampaian Sijil Peperiksaan Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) bagi Darjah VI Tahun 1447H/2025M yang diadakan pada petang tadi di Dewan Fathul Busyra, sekolah berkenaan.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Jamaliah binti Haji Yassin, Mantan Guru Besar Sekolah Ugama Beribi Gadong yang seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para penerima.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti Bacaan Surah Al-Mulk ayat 1 hingga 15 oleh Awang Muhammad Waqqash Haqimie bin Muhammad Redhawudeen. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Rosita binti Haji Abd Rahman, Guru Besar Sekolah Ugama Beribi Gadong.
Majlis turut diisikan dengan persembahan tausyeh, penyampaian sijil kepada murid-murid yang diraikan, penyampaian hadiah pelajar cemerlang tahun 2025 serta cenderahati kepada guru-guru Darjah VI tahun 2025 sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Haji Muhammad Izzat bin Haji Ramlee.
Penganjuran majlis ini merupakan wadah bagi mengiktiraf pencapaian akademik pelajar serta menghargai sokongan ibu bapa dan komitmen guru dalam membimbing mereka mencapai kejayaan. Pengiktirafan tersebut turut menjadi dorongan kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan pendidikan ugama.
Foto: JPI