Bandar Seri Begawan, Khamis, 18 Jamadilawal 1448 bersamaan 29 Oktober 2026–Bagi melahirkan tenaga pengajar yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkeupayaan dalam mengendalikan pengajaran Al-Quran kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) Pendengaran, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah menganjurkan Kursus Kompetensi Pengajaran Quran Isyarat Tahap 1 selama tiga (3) hari, bermula pada hari Selasa, 16 Jamadilawal 1448 bersamaan 27 Oktober 2026, dan berakhir pada petang tadi.
Kursus berkenaan diadakan di Room 5, Multipurpose Room, Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.
Penganjuran kursus ini merupakan salah satu usaha untuk memperluas akses kepada pendidikan Islam yang inklusif dan holistik, khususnya bagi memastikan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) Pendengaran turut berpeluang mempelajari, memahami dan mendalami Al-Quran melalui pendekatan pengajaran yang bersesuaian dengan keperluan mereka.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Awang Khairulamirin Fitri bin Haji Samsuddin, Imam Tingkat II, Masjid Kampong Labu Estate, diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Mulia Haji Mohammad Romeezy @ Abdul Qayyum bin Haji Metusin, Pegawai Pelajaran Kanan, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Timbalan Pengerusi Kursus Kompetensi Pengajaran Quran Isyarat Tahap 1 Tahun 1448H/2026M. Majlis kemudiannya diteruskan dengan persembahan oleh para peserta kursus.
Acara seterusnya menyaksikan penyampaian sijil kepada para fasilitator, moderator dan peserta kursus yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis.
Seramai 30 orang peserta telah mengikuti kursus berkenaan. Para peserta terdiri daripada pegawai-pegawai Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, serta Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Kursus berkenaan dikendalikan oleh enam orang terdiri daripada 2 fasilitator dan 4 penceramah daripada Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Rombongan diketuai oleh Yang Mulia Profesor Madya Dr. Noornajihan binti Jaafar, Felo Kanan UMMI; Yang Mulia Profesor Madya Dr. Nurul Asiah Fasehah binti Muhamad, Felo Kanan UMMI; Yang Mulia Ustazah Siti Ramna binti Khamaruddin, Felo Budi UMMI; Yang Mulia Ustazah Nurul Afifah binti Osman, Felo Budi UMMI; Yang Mulia Ustazah Siti Rahmah binti Ahmad Razuan, Penolong Pendaftar UMMI; dan Yang Mulia Ustaz Mohammad Azami bin Mohammad Nawawi, Felo Budi UMMI.
Kursus ini turut mengguna pakai pendekatan Train-the-Trainer bagi melahirkan tenaga pengajar Quran Isyarat yang kompeten dan berupaya menyebarluaskan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang diperolehi kepada tenaga pengajar lain, rakan sekerja, ahli keluarga, komuniti dan pihak-pihak berkepentingan. Pendekatan ini diharap dapat memastikan perkongsian ilmu dan kemahiran Quran Isyarat dapat dilaksanakan secara berterusan, sekali gus memperluas akses kepada pembelajaran Al-Quran yang inklusif.
Antara matlamat utama kursus ini adalah untuk melahirkan tenaga pengajar Quran Isyarat yang berkualiti, berkemahiran dan berkeyakinan; memperkasa pendidikan Al-Quran secara inklusif di Negara Brunei Darussalam; meningkatkan penglibatan golongan OKU Pendengaran dalam pembelajaran dan pengajaran Al-Quran; serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang lebih prihatin, inklusif dan berteraskan nilai-nilai Islam.
Melalui penganjuran kursus ini, diharap usaha memperluas pendidikan Al-Quran kepada golongan OKU Pendengaran akan terus diperkasa melalui penyediaan tenaga pengajar yang terlatih dan kompeten, selaras dengan aspirasi untuk memastikan setiap lapisan masyarakat berpeluang mendekati dan mempelajari Al-Quran.
Foto: BPAAM