Katok, Isnin, 15 Jamadilawal 1448 bersamaan 26 Oktober 2026–Dalam usaha memperkukuh peranan pemimpin sekolah serta kerjasama antara agensi kerajaan bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan perlindungan murid terus menjadi keutamaan, sekali gus mewujudkan persekitaran pendidikan yang menyokong perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama pagi tadi telah mengadakan sesi Dialog Bersama Pemimpin-Pemimpin Sekolah Mengenai Isu Kesejahteraan, Keselamatan dan Perlindungan Kanak-Kanak Di Sekolah yang berlangsung di Auditorium 1, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok.
Sesi dialog tersebut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin sekolah Arab dan ugama seluruh negara dengan melibatkan tiga narasumber yang berkaitan dengan perlindungan kanak-kanak iaitu Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan; Pasukan Polis Diraja Brunei; dan Kementerian Kesihatan.
Acara dimulakan dengan Bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Acara diteruskan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh tiga narasumber iaitu Yang Mulia Dayang Syifa Syaheerah binti Abu Hanifah, Pegawai Kerja Sosial, Bahagian Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Mulia Inspektor Maziah binti Mahusin, Pegawai Penyiasat, Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei; dan Yang Mulia Dayang Alinah binti Haji Tamim, Psikologis Klinikal, Ketua Bahagian Psikologi Masyarakat, Kementerian Kesihatan.
Acara tersebut bertujuan meningkatkan kefahaman pemimpin sekolah mengenai isu-isu semasa yang melibatkan kanak-kanak dan remaja serta risiko keselamatan dan perlindungan murid, di samping menjadi platform bagi membincangkan cadangan tindakan dan strategi pencegahan yang lebih berkesan dalam memastikan sekolah kekal sebagai persekitaran yang selamat dan kondusif.