Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-252 SEMPENA KONVOKESYEN KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA SERI BEGAWAN

24 October 2026

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-252 SEMPENA KONVOKESYEN KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA SERI BEGAWAN

​

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 14 Jamadilawal 1448 bersamaan 24 Oktober 2026–Ilmu merupakan nikmat besar daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang mengangkat darjat manusia dan pada masa yang sama membawa tanggungjawab. Ilmu bukan sekadar untuk diketahui atau dibanggakan, tetapi hendaklah diamalkan, dimanfaatkan dan disampaikan dengan penuh amanah. Dalam era teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), akses kepada maklumat menjadi semakin mudah dan pantas, namun kemudahan ini tidak menggugurkan kewajipan untuk menyemak kebenaran, melakukan tabayyun dan merujuk kepada ahli ilmu. Tidak semua maklumat yang diterima perlu terus dipercayai atau disebarkan tanpa semakan. Walaupun teknologi mengubah cara manusia memperoleh ilmu, tanggungjawab terhadap kebenaran, adab, ketepatan dan manfaat ilmu tetap berada pada manusia. Kesimpulannya, ilmu adalah nikmat, nikmat melahirkan amanah, dan amanah menuntut tanggungjawab.

Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk Ilmu dan Amanah yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Awang Hilman bin Haji Salim, Timbalan Pengarah Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, Penolong Pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Graduan Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama (Kajian Ahli Sunnah Waljama'ah), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-252 sempena Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan pada malam tadi yang bersiaran dari Surau Utama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Acara Munajat malam tadi disemarakkan oleh tenaga akademik dan para graduan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan yang bersiaran dari Surau Utama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan sebagai tumpuan utama.  Juga menyertai, para jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan juga individu yang turut serta secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan yang juga bersiaran dari Surau Utama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Waqiah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Syukri Mubasyir bin Haji Mohamad Sufri, Graduan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (Pendidikan Islam), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohamed Khairie bin Mohamed Shalahudeen, Graduan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (Pendidikan Islam), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Memohon Dikurniakan Hujan Sebab Dilanda Jerebu oleh Yang Mulia Awang Muhammad Nabil Mukhlish bin Amerul Shah, Ketua Eksekutif Keugamaan dan Kerohanian, Majlis Perwakilan Pelajar 2026-2027, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Sejurus selesai Tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Nur Razin bin Rosli, Yang Di-Pertua Pelajar, Majlis Perwakilan Pelajar 2026-2027, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Syafiq bin Haji Abu Bakar, Graduan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Islam) dengan Minor Bimbingan dan Kaunseling, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit. Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.