Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS DOA KESYUKURAN JUBLI DELIMA 40 TAHUN PENUBUHAN JABATAN HAL EHWAL SYAR’IAH, KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA

21 October 2026

MAJLIS DOA KESYUKURAN JUBLI DELIMA 40 TAHUN PENUBUHAN JABATAN HAL EHWAL SYAR’IAH, KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA

​

Bandar Seri Begawan, Rabu, 10 Jamadilawal 1448 bersamaan 21 Oktober 2026–Jabatan Hal Ehwal Syar'iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, hari ini memperingati 40 tahun penubuhannya, menandakan empat dekad perkhidmatan dalam memperkukuh pentadbiran dan pelaksanaan hal ehwal syar'iah di Negara Brunei Darussalam.

Sebagai tanda kesyukuran atas perkembangan dan kemajuan yang telah dicapai sepanjang empat dekad penubuhannya, Jabatan Hal Ehwal Syar'iah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Jubli Delima 40 Tahun Penubuhan yang diadakan pada petang tadi di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Turut hadir ialah mantan pengarah, pegawai dan kakitangan yang pernah berkhidmat di Jabatan Hal Ehwal Syar'iah, serta pegawai dan kakitangan Jabatan yang masih berkhidmat.

Jabatan Hal Ehwal Syar'iah ditubuhkan pada 21 Oktober 1986 susulan penstrukturan semula Jabatan Hal Ehwal Ugama, yang dinaik taraf menjadi Kementerian Hal Ehwal Ugama. Sejak penubuhannya, Jabatan tersebut telah memainkan peranan penting dalam pembangunan institusi syar'iah serta pengukuhan sistem pentadbiran keugamaan di Negara Brunei Darussalam.

Pengarah pertama Jabatan Hal Ehwal Syar'iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama ialah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, yang menerajui Jabatan berkenaan dari tahun 1986 hingga 1989.

Sepanjang empat dekad penubuhannya, Jabatan Hal Ehwal Syar'iah telah melalui pelbagai perkembangan dari segi struktur organisasi, fungsi dan bidang tanggungjawab, selaras dengan keperluan semasa serta perkembangan pentadbiran hal ehwal ugama di Negara ini.

Dalam tempoh tersebut, Jabatan terus memainkan peranan penting dalam melaksanakan tanggungjawab berkaitan hal ehwal syar'iah, di samping menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada masyarakat.

Pada masa ini, fungsi dan tanggungjawab Jabatan dilaksanakan melalui lima bahagian utama, iaitu Bahagian Pentadbiran, Bahagian Penguatkuasaan Ugama, Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Bahagian Kawalan Makanan Halal serta Bahagian Kaunseling dan Kefahaman Agama.

Bahagian-bahagian berkenaan melaksanakan pelbagai fungsi yang merangkumi urusan pentadbiran, penguatkuasaan undang-undang syar'iah, penyediaan khidmat nasihat dan pengukuhan institusi keluarga, kawalan makanan halal, serta perkhidmatan kaunseling dan pemantapan kefahaman agama.

Sambutan Jubli Delima ini merupakan tanda kesyukuran atas pencapaian dan sumbangan Jabatan sepanjang 40 tahun penubuhannya. Sambutan ini juga bertujuan menghargai jasa serta khidmat bakti para pegawai dan kakitangan yang telah menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan Jabatan sejak ditubuhkan.

Di samping itu, sambutan berkenaan menjadi wadah untuk memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga Jabatan serta menyemarakkan komitmen untuk terus memberikan perkhidmatan yang berlandaskan nilai-nilai Islam, integriti dan profesionalisme.

Majlis dimulakan dengan sembahyang sunat hajat secara berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Yasin, tahlil dan Doa Kesyukuran.

Acara kemudiannya diteruskan dengan pelancaran Pameran Jubli Delima di Bangunan Jabatan Hal Ehwal Syar'iah, Bandar Seri Begawan.​