Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS SKIM PENGGALAK KECEMERLANGAN MEMBACA AL-QUR’AN BAGI WAKIL NEGARA BRUNEI DARUSSALAM YANG BERJAYA  DI MAJLIS TILAWAH DAN HAFAZAN AL-QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA KALI KE-66 TAHUN 1448H/2026M DI KUALA LUMPUR, MALAYSIA

20 October 2026

MAJLIS SKIM PENGGALAK KECEMERLANGAN MEMBACA AL-QUR’AN BAGI WAKIL NEGARA BRUNEI DARUSSALAM YANG BERJAYA DI MAJLIS TILAWAH DAN HAFAZAN AL-QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA KALI KE-66 TAHUN 1448H/2026M DI KUALA LUMPUR, MALAYSIA

​

Gadong, Selasa, 09 Jamadilawal 1448 bersamaan 20 Oktober 2026–Peserta Qariah Negara Brunei Darussalam, Yang Mulia Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki, telah menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-66 Tahun 1448H/2026M yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 06 hingga 09 Oktober 2026.

Dalam pertandingan tersebut, Yang Mulia Dayangku Siti Ummi Syazana telah berjaya meraih Tempat Ketiga bagi Kategori Tilawah Perempuan dengan memperoleh markah sebanyak 90.83%, sekali gus mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam di persada antarabangsa.

Sehubungan dengan kejayaan tersebut, Majlis Penyampaian Skim Penggalak Kecemerlangan Membaca Al-Qur'an bagi Wakil Qariah Negara Brunei Darussalam yang Berjaya di Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-66 Tahun 1448H/2026M di Kuala Lumpur, Malaysia diadakan pada pagi tadi bertempat di Presidential Lounge, Tingkat 8, Rizqun International Hotel, Gadong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama; ketua-ketua jabatan; hakim-hakim Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangaaan Tahun 1447H/2026M;  serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama dan juga keluarga qariah.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Hashim bin Haji Abdullah, Pegawai Pelajaran, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS. Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan daripada Tetamu Kehormat Majlis.

Dalam ucapannya, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama antara lain menyatakan bahawa Kementerian Hal Ehwal Ugama menyediakan beberapa bentuk bimbingan dan pengiktirafan untuk menyokong perkembangan qari dan qariah negara.   Salah satu daripadanya ialah Skim Penggalak Kecemerlangan Membaca Al Quran yang kita laksanakan pagi ini. Skim ini diperkenalkan sejak tahun 1990 sebagai salah satu inisiatif untuk memberikan galakan dan sokongan kepada para qari dan qariah negara dalam mempertingkatkan mutu bacaan dan membuat persediaan untuk pertandingan, khususnya di peringkat antarabangsa. Sepanjang pelaksanaannya, skim ini telah menjadi salah satu wadah penting dalam mempersiapkan wakil negara menghadapi musabaqah di peringkat Antarabangsa, di samping usaha para Qari dan Qariah sendiri dalam mencari dan berguru dengan guru-guru Al Quran sama ada dalam dan luar negara. Majlis skim ini kali terakhir diadakan pada tahun 2023, dan wakil negara ketika itu meraih tempat ketiga dalam kategori tilawah di Majlis Tilawah dan Hafazan Al Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur, Malaysia. Pencapaian tersebut menunjukkan bahawa latihan dan bimbingan perlu diteruskan dengan teratur dalam melahirkan wakil negara yang berpotensi mencapai kecemerlangan.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama seterusnya menyatakan agar usaha membimbing dan menggilap bakat sejak kecil terus dipelihara sehingga mereka mampu mencapai tahap penguasaan yang tinggi, mewakili negara dan seterusnya membimbing generasi berikutnya. Dengan adanya kesinambungan ini, Insya Allah, kita dapat membina barisan qari dan qariah yang lebih kukuh serta mempertingkatkan keupayaan negara mencapai kecemerlangan secara berterusan, di samping menyuburkan penghayatan Al Quran dalam Masyarakat.

Acara seterusnya menyaksikan persembahan bacaan Al-Quran oleh Yang Mulia Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki dan diteruskan dengan tayangan video.

Majlis diakhiri dengan penyampaian Skim Penggalak Kecemerlangan Membaca Al-Quran kepada wakil Qariah Negara Brunei Darussalam yang telah berjaya meraih kejayaan pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-66 Tahun 1448H/2026M di Kuala Lumpur, Malaysia.​

 

 


Foto: PDI