Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN BAGI MUSLIMAH-MUSLIMAH DAERAH BELAIT SEMPENA  HARI PUJA USIA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK HAJAH SALEHA

17 October 2026

MAJLIS KHATAM AL-QURAN BAGI MUSLIMAH-MUSLIMAH DAERAH BELAIT SEMPENA HARI PUJA USIA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK HAJAH SALEHA

​

Kuala Belait, Sabtu, 06 Jamadilawal 1448 bersamaan 17 Oktober 2026–Dalam menyahut seruan untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir, di samping menyemarakkan budaya membaca dan mengamalkan ajaran Al-Quran serta memupuk kecintaan terhadap kitab suci tersebut, Majlis Khatam Al-Quran bagi Muslimah-Muslimah Daerah Belait sempena Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam bagi tahun 1448H/2026M, diadakan pada pagi tadi di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait.

Majlis anjuran Ahli Jawatankuasa Takmir Bahagian Muslimah Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait itu merupakan tanda kesyukuran dan penghormatan sempena Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri. Program pembacaan Al-Quran sehingga khatam berkenaan telah dimulakan sejak Januari 2026, dengan niat agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta berada dalam perlindungan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Selain itu, majlis ini juga bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan muslimah daripada pelbagai agensi dan kumpulan di Daerah Belait, di samping memupuk semangat kebersamaan melalui penghayatan dan amalan membaca Al-Quran.

Seramai 301 orang peserta daripada 18 kumpulan yang mewakili pelbagai agensi dan kumpulan di Daerah Belait telah menyertai program berkenaan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dayang Jamaiyah binti Haji Abdul Hamid, isteri Yang Berhormat Awang Haji Md Salleh bin Haji Othman, Ahli Majlis Mesyuarat Negara merangkap Penghulu Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait.

Antara pengisian majlis termasuklah bacaan Sayyidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyyah, bacaan Surah Al-Fatihah, bacaan surah-surah Al-Quran, bacaan Takhtim dan Doa Khatam, Dikir Marhaban, bacaan Doa Selamat serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. Majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada ketua-ketua kumpulan serta pengagihan bunga telur.

Semoga penganjuran majlis seumpama ini mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, di samping mendorong para peserta untuk terus membudayakan pembacaan Al-Quran, menghayati isi kandungannya serta bersama-sama memakmurkan masjid sebagai pusat ibadah dan kegiatan keagamaan masyarakat.

 

Foto: JHEM