Jerudong, Jumaat, 05 Jamadilawal 1448 bersamaan 16 Oktober 2026–Seramai 74 orang pelajar Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong (JIS) menerima sijil dalam Majlis Penyampaian Sijil Peperiksaan Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) bagi Darjah VI Tahun 1447H/2025M yang diadakan di Art Centre, Jerudong International School, pada petang tadi.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti persembahan tausyeh Qalamun Qadim dan hafazan Surah Al-Mulk. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Noraidah binti Haji Tengah, Guru Besar Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong (JIS), diikuti ucapan oleh Yang Mulia Awang Nicholas Sheehan, Pengetua Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong (JIS), serta ucapan daripada Tetamu Kehormat Majlis.
Majlis turut diserikan dengan persembahan slide dan tausyeh, diikuti penyampaian sijil kepada para pelajar oleh Tetamu Kehormat Majlis. Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Mohd Norisham bin Haji Kamis, Tenaga Pengajar sekolah berkenaan sebelum diakhiri dengan sesi bergambar ramai.
Penganjuran majlis ini merupakan wadah untuk mengiktiraf pencapaian akademik para pelajar, di samping menghargai sokongan ibu bapa serta komitmen guru dalam membimbing mereka mencapai kejayaan. Pengiktirafan ini juga diharap dapat menjadi dorongan kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan pendidikan ugama.










Foto: JPI