Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS MEMBACA RATIB AL-ATTAS DAN DOA KESYUKURAN SEMPENA PUJA USIA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK HAJAH SALEHA KE-80 TAHUN

13 October 2026

MAJLIS MEMBACA RATIB AL-ATTAS DAN DOA KESYUKURAN SEMPENA PUJA USIA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK HAJAH SALEHA KE-80 TAHUN

​

Bandar Seri Begawan, Selasa, 02 Jamadilawal 1448 bersamaan 13 Oktober 2026–Bagi menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala sempena Puja Usia Ke-80 Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Ahli Jawatankuasa Takmir Muslimah Masjid Omar 'Ali Saifuddien telah mengadakan Majlis Membaca Ratib Al-Attas dan Doa Kesyukuran pada pagi tadi. Majlis tersebut diadakan di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, dengan tujuan memohon keberkatan serta kesejahteraan buat Baginda.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Yang Mulia Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin, Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Turut hadir ialah Ahli-Ahli Jawatankuasa Takmir Muslimah, Beliawanis Syababus Salam serta jemaah muslimah dari beberapa buah masjid terpilih.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan penyampaian tazkirah oleh Yang Mulia Dayang Siti Juhaidah binti Haji Bujang, Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Ratib Al-Attas, Doa Kesyukuran dan nyanyian lagu kebangsaan, Allah Peliharakan Sultan.

Penganjuran majlis ini bukan sahaja bertujuan untuk menzahirkan kesyukuran dan memanjatkan doa bagi kesejahteraan Baginda, malah turut dihasratkan untuk mempererat ukhuwah dalam kalangan muslimah dan jemaah masjid. Di samping itu, majlis berkenaan juga mencerminkan usaha berterusan dalam mengimarahkan masjid melalui pelaksanaan aktiviti keagamaan yang membawa keberkatan.

Majlis diakhiri dengan doa agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, dilimpahi rahmat dan perlindungan Allah Subhanahu Wa Ta'ala serta menikmati kesejahteraan dan kebahagiaan yang berpanjangan dalam keberkatan dan keredaan-Nya.

 

Foto: JHEM​