Berakas, Isnin, 01 Jamadilawal 1448 bersamaan 12 Oktober 2026–Dalam usaha memartabatkan kedudukan Al-Quran sebagai sumber utama perundangan Islam, di samping meningkatkan kesedaran umat Islam untuk memahami kandungannya dalam pelbagai aspek kehidupan serta memberikan maklumat yang tepat berhubung isu-isu semasa dan salah tanggapan mengenai Al-Quran dalam era globalisasi, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS telah menganjurkan Kursus Skim Kefahaman Al-Quran Tahun 1448H/2026M (Siri II) selama empat (4) hari, bermula pada hari Rabu, 07 Oktober 2026 dan berakhir pada petang tadi.
Kursus berkenaan diadakan di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Darul Itqan, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Kursus ini antara lain bertujuan untuk melahirkan generasi penerus yang berjati diri serta mampu memahami, menghayati dan mengamalkan nilai-nilai ajaran Islam secara menyeluruh berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah dalam semua aspek kehidupan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para fasilitator dan peserta kursus ialah Yang Mulia Awang Mohammad Zulhilmi bin Haji Omar Ali, Pengarah Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Awang Mohammad Farhan @ Mohammad Ali bin Alim, peserta kursus dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS.
Acara kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para fasilitator, moderator dan peserta kursus yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis.
Seramai 46 orang peserta telah mengikuti kursus berkenaan. Peserta terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan (Bahagian Penapisan dan Pameran, Bahagian Kajian dan Penerbitan, Bahagian Penyebaran Da'wah dan Bahagian Media) daripada Pusat Da'wah Islamiah; Jabatan Hal Ehwal Masjid; Jabatan Hal Ehwal Syariah; Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri; Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Pasukan Polis Diraja Brunei.
Fasilitator kursus ialah Yang Mulia Dr. Hajah Sarinah binti Haji Yahya, Penolong Professor, Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA). Manakala Moderator bagi program ini ialah Yang Mulia Dayang Zannatul Mardhiah binti Awang Sulaiman, Pembantu Kanan Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah.







Foto: Ehsan MP