Berakas, Ahad, 29 Rabiulakhir 1448 bersamaan 11 Oktober 2026–Yang Mulia Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki, peserta Qariah Negara Brunei Darussalam, telah meraih Tempat Ketiga pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-66 yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 06 hingga 09 Oktober 2026, dengan memperoleh markah sebanyak 90.83 peratus.
Kepulangan Yang Mulia Dayangku Siti Ummi Syazana bersama peserta Qari Negara, Yang Mulia Awangku Mohammad Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri, serta rombongan telah selamat tiba di Negara Brunei Darussalam pada petang tadi.
Hadir bagi mengalu-alukan kepulangan rombongan berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Juga hadir ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta pengarah-pengarah dan para pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Ketibaan Qari dan Qariah Negara disambut dengan persembahan Dikir dan pukulan hadrah. Diikuti dengan bacaan Doa Selamat dan Kesyukuran oleh Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Kepulangan rombongan turut diiringi oleh Yang Mulia Datin Dr. Hajah Rohanita binti Haji Yaakub selaku Ketua Rombongan, serta jurulatih, Yang Mulia Awang Haji Abd Hafeiz bin Haji Nuh dan Yang Mulia Awang Haji Muhammad Zainul Arifin Redhuan Lubis.







Foto: PRO BPAAM