Merangking, Ahad, 29 Rabiulakhir 1448 bersamaan 11 Oktober 2026–Usaha menyemai nilai kasih sayang, keprihatinan dan ukhuwah Islamiah terus diperkasa melalui penglibatan warga sekolah dalam aktiviti kemasyarakatan yang membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan pengalaman bersama saudara baharu.
Sehubungan itu, Sekolah Ugama Lambak Jalan Bedil dengan kerjasama Bahagian Pengembangan Dakwah dan Cawangan Dakwah Daerah Belait, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama pagi tadi mengungkayahkan Program Ziarah Mahabbah di Balai Ibadat Kampung Merangking, Daerah Belait, dengan penyertaan seramai 20 orang guru dan 20 orang murid sekolah berkenaan.
Acara dimulakan dengan bacaan Doa Selamat, diikuti ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Kamariana binti Haji Md Noor, Guru Besar Sekolah Ugama Lambak Jalan Bedil.
Antara pengisian program ialah Klinik Praktikal Sembahyang, aktiviti gotong-royong membersihkan balai ibadat bersama komuniti mualaf, perkongsian penyediaan masakan tradisional oleh penduduk mualaf Kampung Merangking serta kuiz interaktif mengenai hukum-hukum asas Islam.
Penganjuran program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada warga sekolah mengenai usaha dakwah serta kehidupan dan cabaran yang dihadapi oleh saudara baharu.
Pada masa yang sama, program ini turut menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kebersamaan dan memperkukuh penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan peserta.









Foto: JPI